Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Matters of Choice juara peraduan video pendek BMR

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Bersempena Hari Anti-Rasuah Antarabangsa (HARA) 2024, Biro Mencegah Rasuah (BMR) telah menganjurkan Peraduan Video Pendek Anti-Rasuah 2024, dengan tema Bersatu Membanteras Rasuah.

    Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian hadiah bagi peraduan tersebut diadakan hari ini bertempat di Ibu Pejabat BMR, Jalan Pembangunan Lapangan Terbang Lama, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis itu ialah Pengarah BMR, Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abd Ghani.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan daripada Pengarah BMR. Majlis diteruskan dengan tayangan video bagi 11 penyertaan yang memenangi hadiah peraduan dan mendapat Anugerah Pilihan BMR.

    Kemuncak majlis tersebut menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi Peraduan Video Pendek Anti-Rasuah sempena HARA 2024 dan juga penerima Anugerah Pilihan BMR. Penilaian dan penghakiman telah dibuat berdasarkan isi kandungan, kreativiti dan kualiti.

    Datin Paduka Hajah Anifa Rafiza bergambar ramai bersama para pemenang semasa acara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BMR

    Pemenang-pemenang peraduan tersebut terdiri daripada Kumpulan Matters of Choice yang mendapat tempat pertama dengan membawa hadiah berupa wang tunai sebanyak $2,000 dengan video bertajuk Price of Corruption; diikuti dengan Awang Muhammad Firdaus bin Haji Ibrahim mendapat tempat kedua dengan memenangi hadiah sebanyak $1,500 dengan video bertajuk Rasuah Menghancurkan Masa Depan Keluarga; dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Drama Pondok memenangi hadiah sebanyak $1,000 dengan video bertajuk Kejujuran.

    Manakala tiga pemenang saguhati memenangi hadiah sebanyak $700 yang terdiri daripada Kumpulan Project Rataie; Awang Mohamad Zulnazri Donglah; dan Kumpulan Grade A Production.

    Selain enam pemenang yang memenangi hadiah, BMR telah membuat penilaian ke atas lima peserta lain untuk dipilih bagi menerima Anugerah Pilihan BMR sebagai tanda penghargaan ke atas usaha dan kesungguhan mereka dalam menghasilkan video anti rasuah yang berkualiti serta mampu memberikan impak kepada penonton.

    Peserta yang menerima Anugerah Pilihan BMR adalah Dayang Widuri Haji Maidin, Kumpulan Stellar, Awang Muhammad Aqil Faiz bin Abdullah, Kumpulan Tim Sebatang Sentol dan Syed Harith Syed Rozman yang mana masing-masing menerima hadiah sebanyak $200.

    Peraduan berkenaan telah dibukakan kepada orang ramai bermula 24 Oktober hingga 30 November lalu dan menerima seramai 42 penyertaan daripada penuntut sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi, penjawat awam, pekerja swasta dan juga freelance.

    Ianya merupakan salah satu inisiatif BMR dalam mempelbagaikan strategi memerangi gejala rasuah, dan pada masa yang sama juga, meningkatkan kesedaran orang ramai serta menggalakkan penglibatan dan kerjasama di antara BMR dengan orang ramai dalam memerangi rasuah.

    Selain daripada menganjurkan Peraduan Video Pendek Anti-Rasuah 2024, bersempena dengan Sambutan HARA tahun ini, sebuah Khutbah Jumaat bertajuk Penerapan Integriti Dalam Pekerjaan juga telah dibacakan di semua masjid dan surau di Negara Brunei Darussalam pada 29 November lalu, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Antara intipati khutbah tersebut menekankan bahawa pekerja yang berintegriti harus menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan penuh disiplin dan bertingkah laku dengan adab dan moral yang tinggi. Mereka juga perlu bijak dalam membezakan antara perbuatan yang benar dan salah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda