Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mattis tiba di Seoul

    SEOUL, 28 Jun – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), James Mattis tiba di Seoul hari ini dan akan menuju ke Tokyo kemudian untuk meyakinkan sekutu-sekutu penting Washington di Asia Timur selepas Presiden Donald Trump secara sehala menangguhkan latihan ketenteraan di Korea Selatan, yang menimbulkan kebimbangan mengenai komitmennya di rantau itu.

    Dengan Presiden AS memuji pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sebagai ‘lelaki berbakat’ dan ketika cuba memujuk Pyongyang supaya melucutkan senjata nuklearnya, Mattis mendarat di Korea Selatan selepas lawatan rasmi dua hari ke China.

    Selepas rundingan dengan para pegawai tertinggi Korea, dia akan terbang ke Tokyo malam ini bagi rundingan sehari dengan rakan sejawatan dari Jepun.

    Kedua-dua negara mempunyai gabungan keselamatan dengan jaminan AS melalui perjanjian, tetapi telah terjejas oleh tindakan pantas Trump ekoran rundingan dengan Kim.

    Lebih-lebih lagi, selepas sidang kemuncak kedua-dua pemimpin itu di Singapura awal bulan ini, Trump mengumumkan akan menangguhkan latihan tentera bersama dengan Korea Selatan, tatkala Seoul mengatakan ia tidak dimaklumkan sebelumnya.

    James Mattis (kiri) berjabat tangan dengan Menteri Pertahanan Korea Selatan, Song Young-moo semasa sidang media bersama sebelum mesyuarat mereka di Seoul, semalam. – AFP

    Pasukan tentera AS dan Korea Selatan telah berlatih bersama-sama selama berdekad-dekad dan sentiasa mengatakan latihan itu sebagai latihan pertahanan sahaja, manakala Pyongyang menyelarnya sebagai latihan bagi serangan dan kerap memberi tindak balas dengan provokasinya sendiri.

    Trump mengesali kos latihan dan menggunakan gambaran Korea Utara untuk menyifatkan latihan itu sebagai ‘provokasi’ dengan menambah kata, “Saya mahu membawa pulang tentera-tentera kami.”

    AS telah secara terbuka menegaskan komitmennya untuk melindungi Jepun dan Korea Selatan yang mana kedua-dua negara itu menerima berpuluh-puluh ribu orang anggota tentera AS dari ketenteraan Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.

    “Mereka semakin bimbang dengan kebolehpercayaan jaminan kami,” kata James Schoff, bekas pakar Pentagon Asia yang kini berada di program Carnegie Asia. “Wujud kesensitifan tinggi terhadap sebarang keputusan yang kami buat.”

    Namun pegawai kanan Pentagon itu tidak memandang serius perlunya untuk memberi jaminan semula kepada dua sekutu AS itu.

    “Jaminan semula adalah sebahagian daripada lawatan, bukan perkara utama. Perkara utama ialah ‘meneruskan perbincangan tentang hala tuju kami,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda