PARIS, 13 DIS – Kylian Mbappe meledak gol ke-100 Ligue 1 bersama Paris Saint Germain (PSG) untuk membantu kelab itu menewaskan bekas pasukannya, Monaco 2-0 di Parc des Princes semalam.
Mbappe membuka jaringan menerusi penalti di awal perlawanan dan menjaringkan gol kedua sebelum tamat babak pertama selepas menerima hantaran Lionel Messi bagi gol ke-100 dalam liga utama Perancis sejak berpindah ke PSG pada 2017. Penyerang antarabangsa Perancis itu pernah menyumbang 16 gol dalam saingan liga ketika bersama Monaco pada permulaan kerjayanya.
Kemenangan itu membolehkan PSG melebarkan pendahuluan mereka di tangga teratas Ligue 1 dengan kelebihan 13 mata mengatasi Marseille, yang menang 2-0 di Strasbourg dan masih mempunyai baki satu perlawanan.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino mencipta kemenangan dalam suasana kurang ceria di Parc des Princes, dengan satu bahagian stadium ditutup kerana hukuman penyokong kelab yang menyalakan suar dalam perlawanan sebelum ini.
“Ia persembahan profesional dan kami berhak menang. Kylian sekali lagi menakjubkan.
“Kami sangat gembira dengan keputusan dicapai, tapi kami masih boleh meningkatkan mutu persembahan,” kata Pochettino. Monaco hanya tewas dua kali dalam 12 kunjungan mereka sebelumnya di Ligue 1 dan merupakan skuad yang lebih baik dalam separuh saingan pertama, namun gol kedua Mbappe sejurus sebelum separuh masa berakhir memberikan tamparan hebat kepada pasukan lawan. – AFP