Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    McIlroy ragui kepulangan Poulter, Westwood

    VIRGINIA WATER, 19 SEPT – Rory McIlroy menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan Ian Poulter atau Lee Westwood menjadi kapten Piala Ryder pada masa depan, kerana mereka tidak lagi mempunyai hubungan rapat dengan bintang-bintang muda Eropah selepas menyertai LIV Golf.

    Poulter, yang terkenal dengan prestasi cemerlangnya dalam pasukan Eropah di Piala Ryder, telah mengumpul 16 mata dalam tujuh penampilan. Bagaimanapun, selepas menyertai LIV Golf, Poulter melucutkan keahliannya dalam jelajah Eropah.

    Dalam wawancara bersama Al Arabiya English, Poulter menyatakan minatnya untuk menjadi kapten pasukan Eropah walaupun perkara itu tidak mungkin buat masa ini kerana statusnya dalam Jelajah Eropah.

    McIlroy, bercakap sebelum Kejohanan BMW PGA di Wentworth kelmarin, menjelaskan bahawa pemain seperti Poulter dan Westwood mungkin sukar untuk kembali menjalin hubungan dengan pemain-pemain muda selepas perpisahan tidak baik dengan Jelajah Eropah.

    “Lihat apa yang dilakukan Luke (Donald) dalam beberapa tahun kebelakangan ini beliau benar-benar berusaha untuk kembali. Dia bermain di Republik Czech dan dia juga beraksi di Switzerland,” kata McIlroy.

    “Dia berusaha untuk berada bersama pemain-pemain dan membuat pemain berasa selesa bersamanya, terutamanya pemain-pemain muda yang belum berpeluang menyertai pasukan atau cuba untuk menjadi sebahagian daripada pasukan.”

    “Dengan pemain yang telah meninggalkan kumpulan, seperti Poulter dan Westwood, bagaimana pemain muda boleh membina hubungan dengan mereka apabila mereka tidak pernah ada di sini? Saya fikir ia adalah bahagian yang penting dalam Piala Ryder dan tugas sebagai kapten.” – AP

    Aksi Rory McIlroy semasa pusingan ketiga kejohanan golf Terbuka Ireland di Royal County Down di Newcastle, Ireland Utara, pada 14 September lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda