Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Melihat erti kehidupan dari perspektif kanak-kanak istimewa

    Oleh Ravindran Raman Kutty

     

    KUALA LUMPUR – Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menjadi aktiviti semakin popular dalam kalangan syarikat pada masa kini. Malah, CSR adalah sesuatu yang mandatori untuk syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

    Sebenarnya, CSR satu langkah baik bagi syarikat untuk menunjukkan keprihatinan terhadap para pemegang amanahnya terutama kalangan yang kurang bernasib baik.

    Saya sangat bernasib baik kerana dapat menyertai pasukan kami menjalankan program CSR yang pertama dengan Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Klang, Selangor, pada Jumaat, 20 April, 2018.

    Penghuni di persatuan itu adalah kanak-kanak yang bukan sahaja kelainan upaya, malah majoritinya anak yatim dan ada yang diabaikan oleh ibu bapa.

    Kunjungan kami disambut dengan senyuman dan gelagat ceria penghuninya. Tiada rasa takut pada wajah mereka, tiada kerisauan di mata mereka, malah tanpa sebarang tanda rasa tersisih walaupun “serba kekurangan.”

    Suasana memang meriah pada hari itu. Penghuni remaja duduk dengan tenang menantikan acara bermula manakala kanak-kanak yang lebih kecil berlarian girang, tidak ada yang bertolak-tolak antara satu sama lain. Hari itu penuh keceriaan dan kegembiraan.

    Sebagai wakil kepada bos, saya memulakan acara itu dengan menyatakan bahawa selepas ini ramai orang atau banyak syarikat akan mengunjungi mereka untuk beberapa jam, mengambil gambar bersama kanak-kanak di situ dan menyiarkannya dalam media, sebagai tanda bahawa mereka telah melaksanakan CSR masing-masing.

    Kami juga akan meninggalkan mereka selepas meluangkan masa satu atau dua jam bersuka ria dan berharap dapat menyiarkan gambar-gambar kami untuk dikongsi dengan orang ramai.

    Saya kagum dengan jawatankuasa yang menguruskan pusat berkenaan. Pengerusi dan Pengasasnya, N.Morgun, Pengarahnya, Low Chun Kee, kalangan penjaga dan pengasuh yang menyedia dan memberikan sokongan serta kasih sayang tanpa sempadan kepada anak-anak istimewa itu setiap hari.

    Tugas mereka tidak mudah, kanak-kanak istimewa memerlukan perhatian, pengawasan dan penjagaan rapi. Ada yang perlu disuap makanannya; ada yang memerlukan bantuan untuk ke tandas; malah ada yang memerlukan bantuan fizikal untuk bergerak dan bercakap.

    Saban hari, apabila para penjaga memulakan kerja pada pukul 6.00 pagi, mereka terpaksa membersihkan pelbagai kotoran termasuk najis yang terdapat di lantai malah di dinding, berhadapan pelbagai kerenah kanak-kanak, ada yang terlalu sensitif dan ada juga yang hiperaktif.

    Walaupun seolah-olah tenggelam dalam tanggungjawab yang banyak, para pengasuh itu nampak tenang dalam menjalankan tugas mereka. Komitmen Morgun dan pasukannya wajar diberi sanjungan tinggi.

    Kanak-kanak di rumah itu menyanyi dan menari untuk kami, memang seronok dan kagum melihatkan bakat dan semangat mereka untuk melakukan yang terbaik. Walaupun kedengaran suara di sana sini, tidak sedikitpun menganggu kesungguhan dan keasyikan mereka. Pada satu ketika pengacara kami kehilangan mikrofon untuk seketika kerana diambil oleh kanak-kanak itu yang terlalu bersemangat untuk menyanyi.

    Kanak-kanak itu mengatur langkah serentak mempersembahkan tarian yang sangat indah, tanpa guru di sisi untuk membimbing ketika persembahan. Mereka adalah sekumpulan anak istimewa dengan bakat luar biasa dan gembira kerana dapat membuat persembahan di hadapan kami.

    Ketika perjalanan pulang saya terfikir apabila diri ini mempunyai anggota badan yang sempurna dan tiada cacat atau cela. Kemudian saya merenung akan kecenderungan diri saya untuk merungut dan membandingkan pelbagai perkara dalam kehidupan ini. Apabila berada di restoran, kita merungut mengenai makanan yang dihidangkan; di jalan raya kita bersungut mengenai kecuaian atau cara pemanduan pemandu lain: di pejabat pula mengenai bos yang kejam dan tidak adil; dan di rumah kita bersungut mengenai pasangan yang sentiasa berleter. Senarai ketidakpuasan hati kita sentiasa berterusan; kita sering merungut atau membandingkan atau menggabungkan kedua-duanya sekali.

    Ia adalah mengenai ingatan terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Lihatlah melalui mata mereka, bukan melalui mata anda. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda