Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Melaksanakan ibadat korban bukan hanya sebagai ibadah yang sangat dituntut, bahkan ia juga sebagai menzahirkan kesyukuran kita terhadap nikmat hidup dan rezeki yang telah dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sedekah daging korban itu sangat bermakna kepada fakir miskin, sementara sebahagiannya akan diberikan kepada golongan orang mampu seperti saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai, manakala sebahagiannya pula untuk diri sendiri. Masing-masing kelompok itu akan mendapat 1/3 (sepertiga) bahagian binatang korban.
Antara persoalan mengenai korban ini ialah berkaitan kulit binatang korban. Kulit binatang korban tidak memadai untuk menggantikan daging yang dituntut untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Ini disebabkan, kulit binatang menurut kebiasaannya tidak dinamakan daging kerana ia tidak dimakan.
Bagaimanapun seperti yang dimaklumi, kulit binatang korban merupakan antara lebihan daripada binatang korban yang boleh dimanfaatkan.
Ini kerana ia mempunyai nilainya yang tersendiri. Persoalannya, apakah hukumnya sekiranya orang yang berkorban itu sendiri memanfaatkan kulit binatang korbannya itu?
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P16-FREEPIK_30062023.jpg)
Kulit binatang korban sunat
Orang yang berkorban sunat adalah harus baginya memanfaatkan kulit binatang korbannya dengan apa jua cara melainkan dalam bentuk jual beli, akan tetapi yang afdhal adalah menyedekahkannya.
Afdhal menyedekahkan kulit binatang korban sunat tersebut adalah sebagai ittiba‘ (mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam).
Selain itu, menyedekahkan yang lainnya seumpama tanduk, tali atau rantai leher binatang korban juga adalah perbuatan yang digemari.
Dalam sebuah atsar daripada ‘Abdul Rahman bin Abi Layla, ‘Ali Karramallahu Wajhah pernah mengkhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengarahkan ‘Ali Karramallahu Wajhah supaya mengambil alih urusan penyembelihan unta-unta Baginda.
‘Ali Karramallahu Wajhah diperintahkan untuk membahagi-bahagikan kesemua bahagian unta Baginda kepada fakir miskin, iaitu daging-dagingnya (melainkan sedikit daging daripada setiap unta tersebut untuk dimasak), kulitnya dan pakaian yang dipakaikan di atas unta, serta tidak memberikan penyembelihnya sesuatu apa pun sebagai upah penyembelihannya.
Daripada penjelasan di atas, kulit dan selain kulit binatang korban sunat adalah afdhal diberikan kepada golongan fakir miskin sebagai sedekah dan kulit yang disedekahkan itu untuk dimilikinya, sebagaimana dia memiliki bahagian daging korban.
Oleh yang demikian, golongan fakir miskin harus memanfaatkan kulit tersebut dengan apa jua cara seperti menjualnya, menyewakannya, menggunakannya dan sebagainya.
Memanfaatkan kulit binatang korban sunat
Bagaimanapun, sekiranya orang yang berkorban sunat itu hendak memanfaatkan kulit binatang korban tersebut untuk dirinya sendiri, maka harus baginya mengambil kulit binatang korban sunatnya umpamanya untuk dijadikan khuff (kasut yang diperbuat daripada kulit yang menutupi bahagian tapak kaki hingga ke buku lali), kasut, pakaian kulit berbulu, geriba (bekas tempat menyimpan air), bekas pengayak (mengasingkan bendasing) dan selainnya.
Selain itu, dia juga boleh meminjamkan kulit binatang korban sunatnya kepada orang lain, iaitu tanpa sebarang bayaran.
Keharusan bagi orang yang berkorban sunat memanfaatkan kulit binatang korbannya adalah berdasarkan perbuatan para sahabat.
Dalam sebuah hadits yang panjang yang diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa sahabat berkata yang maksudnya:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang ramai membuat geriba daripada binatang korban mereka dan mengambil lemaknya (yang telah dicairkan).”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Mengapa kamu bertanyakan hal ini?” Mereka menjawab: “Dahulu Tuan pernah melarang dari memakan daging korban setelah tiga hari.”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya dahulu aku melarang kamu hanyalah kerana (aku mahu kamu menyedekahkannya kepada) orang Arab Badawi yang memerlukan itu. Sekarang kamu makanlah, kamu simpanlah dan kamu sedekahkanlah (daging korban). (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits di atas, para sahabat menyatakan orang ramai ketika itu memanfaatkan kulit binatang korban mereka dan menjadikannya sebagai geriba.
Jelaslah bahawa orang yang berkorban sunat harus memanfaatkan kulit binatang korbannya, akan tetapi orang yang berkorban termasuk ahli warisnya haram menjual kulit binatang korban, sepertimana haram menjual mana-mana bahagian daripada binatang korban tersebut seperti daging, lemak, tanduk, bulu dan selainnya, menyewakan kulitnya dengan mengambil bayaran dan memberikan kulit binatang korban itu kepada penyembelih sebagai upah.
Larangan menjual kulit binatang korban adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiadalah korban baginya (yakni tidak mendapat pahala korban sepertimana yang dijanjikan ke atas orang yang berkorban).” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Manakala larangan menjadikan kulit binatang korban sebagai upah kepada penyembelih atas kerja-kerja penyembelihan adalah berdasarkan atsar yang telah disebutkan terdahulu bahawa ‘Ali Radhiallahu ‘anhu diarahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
“… dan tidak memberikan penyembelihnya sesuatu apa pun sebagai upah penyembelihannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maksud larangan memberi sesuatu kepada penyembelih dalam hadits di atas ialah larangan memberi kepada penyembelih sesuatu daripada unta tersebut sebagai upah atas kerja penyembelihan.
Bagaimanapun, sekiranya penyembelih itu diberi kulit binatang korban sebagai hadiah ataupun dia diberi upah yang sewajarnya (sepatutnya) kemudian diberi kulit korban sebagai sedekah di-sebabkan dia juga miskin yang layak menerima sedekah, maka dalam perkara ini, pemberian tersebut adalah dibolehkan.
Menyentuh mengenai pemberian kulit binatang korban sunat sebagai hadiah kepada penyembelih dan golongan orang mampu (selain fakir msikin) seperti sahabat handai, jiran tetangga dan saudara mara, maka perlu diingat, terdapat perbezaan antara golongan ini dengan golongan fakir miskin.
Golongan fakir miskin ada hak pada kulit tersebut, iaitu mereka memilikinya dan seterusnya harus menjual kulit tersebut, menyewakannya dan selainnya.
Sementara bagi penyembelih dan golongan orang mampu yang dihadiahkan kulit binatang korban sunat, hak mereka pada kulit binatang korban sunat adalah untuk dimanfaatkan sahaja dan tetap terikat dengan hukum-hakam binatang korban dan larangannya sepertimana yang dihukumkan ke atas diri orang yang berkorban.
Oleh yang demikian, mereka (penyembelih dan golongan orang mampu) harus memanfaatkan kulit tersebut akan tetapi dilarang menjual, menyewakan kulit tersebut dan seumpamanya.