Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Memartabatkan bahasa Melayu, Indonesia

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Majlis Bahasa Brunei Darussalam- Indonesia – Malaysia (MABBIM) telah menjadi tuan rumah penyelenggara Mesyuarat Sekretariat Pertama MABBIM dengan majlis perasmian berlangsung di Bilik Mutiara 1, Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian mesyuarat berkenaan ialah Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.

    Turut hadir pada mesyuarat yang diadakan selama dua hari sehingga 25 September ini ialah delegasi perwakilan dan perutusan dari tiga buah negara anggota MABBIM.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Hajah Haireni.

    Hajah Haireni dalam ucapannya berkata MABBIM telah banyak mengungkayahkan usaha dan strategi dalam mengembang luaskan dan memartabatkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sejak ditubuhkan pada 1985.

    Hajah Haireni bergambar ramai bersama delegasi perwakilan dan perutusan dari tiga buah negara anggota MABBIM pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Jelasnya, pejuang-pejuang bahasa juga telah banyak menyumbangkan bakti, tenaga dan buah fikiran dalam memastikan semangat kebersamaan terus berdiri teguh menghayati nilai kesatuan dan kerjasama serantau, seiring dengan tujuan dan objektif penubuhan MABBIM.

    Terdahulu beliau merakamkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT pada tahun ini Negara Brunei Darussalam diberi penghormatan untuk mengadakan dan menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan di mana kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019 di Indonesia sebelum berlakunya wabak COVID-19.

    “Meskipun jarak waktu ini agak lama, namun saya pasti ketiga-tiga negara anggota MABBIM ini akan tetap berdiri di landasan yang sama demi mendukung cita-cita untuk mengangkat martabat bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

    “Oleh itu, majlis bahasa ini juga dihasratkan akan dapat menghubungkan apa jua rangka kerja, agar kita sama-sama saling bersilaturahmi, khususnya dalam bidang kebahasaan,” ujarnya.

    Di akhir ucapan, Hajah Haireni turut menaruh harapan agar permesyuaratan berkenaan akan dapat menyegarkan minda dengan gagasan-gagasan baharu yang lebih dinamik dan inovatif, menghuraikan simpulan persoalan dan memberi pencerahan terhadap apa pun kemusykilan dan permasalahan untuk ditangani dengan sebaiknya.

    Sehubungan itu, Mesyuarat Sekretariat Pertama MABBIM dihasrat membincangkan dan melanjutkan gerak kerja MABBIM dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi negara anggota.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda