Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Membaca Al-Qur’an dengan melihat mushaf ketika sembahyang

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Adakalanya kita melihat orang yang mendirikan sembahyang membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf.

    Mushaf itu kadang-kadang saiznya besar dan diletakkan di sebelah hadapannya ketika sembahyang, dan kadang-kadang juga mushaf itu bersaiz kecil dan hanya dipegangnya dengan tangannya ketika sembahyang.

    Perkara ini dilakukan bukan sahaja oleh orang yang mendirikan sembahyang bersendirian bahkan juga dilakukan oleh imam di masjid-masjid, kadang-kadang ketika sembahyang Subuh di mana imam ingin membaca surah as-Sajadah.

    Kadang-kadang juga ketika sembahyang Tarawih di mana imam membaca juzuk-juzuk al-Qur’an pada setiap malam. Kadang-kadang walaupun imam tersebut adalah seorang al-Hafiz namun perkara tersebut dibuat juga sebagai persediaan jika terlupa.

    Kadang-kadang juga ketika qiyam al-lail di mana imam atau orang yang bersendirian ingin membaca surah-surah panjang dalam sembahyang sunat Tahajjud.

    Gambar Freepik

    Mungkin sahaja ada di antara kita yang masih belum tahu akan kedudukan hukum perbuatan membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf ketika sembahyang ini. Maka untuk lebih jelas perkara ini, irsyad hukum kali ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut perkara tersebut.

    HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN DENGAN MELIHAT MUSHAF

    Adalah afdhal membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf daripada membacanya dengan hafalan, kerana membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf menghimpunkan perbuatan membaca dan perbuatan melihat mushaf. Walau bagaimanapun keafdhalan itu adalah tertakluk juga kepada keadaan setiap individu. Ini kerana barangsiapa yang bertambah khusyu‘, hadir hatinya dan bertambah-tambah perhatian dan pengamatannya dengan salah satu daripada keduanya itu, maka itulah yang afdhal baginya.

    Inilah yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Majmu‘.

    Sementara itu dalam kitab al-Azkar, Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menerangkan bahawa jika orang yang membaca al-Qur’an secara hafalan (iaitu tanpa melihat mushaf) akan menghasilkan tadabbur dan tafakkur serta penumpuan yang lebih berbanding dengan membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf, maka membaca secara hafalan adalah lebih afdhal.

    Manakala sekiranya membaca secara hafalan sama sahaja dengan membaca dengan melihat mushaf, maka membaca dengan melihat mushaf adalah lebih afdhal.

    HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN DENGAN MELIHAT MUSHAF KETIKA SEMBAHYANG

    Adapun kedudukan hukum membaca al-Qur’an daripada mushaf ketika sembahyang tidaklah membatalkan sembahyang. Perkara ini juga disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab al-Majmu‘ seperti berikut:

    Jika seseorang membaca al-Qur’an daripada mushaf (ketika sembahyang), sembahyangnya tidaklah batal, sama ada ayat al-Qur’an yang dibacanya itu telah dihafalnya ataupun tidak.

    Bahkan demikian itu (membaca daripada mushaf) adalah wajib ke atasnya, jika dia belum hafal surah al-Fatihah sebagaimana yang terdahulu keterangannya. Dan jika dia membalik lembaran kertas mushaf sekali sekala di dalam sembahyangnya itu juga adalah tidak batal.

    SUKAT-SUKAT PERBUATAN MEMBALIK LEMBARAN MUSHAF KETIKA SEMBAHYANG

    Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa perbuatan yang tidak termasuk dalam pekerjaan sembahyang jika ia menimbulkan banyak pergerakan akan membatalkan sembahyang, tetapi jika hanya menimbulkan sedikit pergerakan, maka tidaklah membatalkan sembahyang.

    Dari itu, para ulama dalam mazhab Syafi‘i telah sepakat mengatakan bahawa pergerakan banyak yang membatalkan sembahyang itu ialah jika dilakukan berturut-turut.

    Jika pergerakannya itu berselang-seling, maka tidaklah membatalkan sembahyang, seperti melangkah sekali kemudian berhenti sekejap, lalu melangkah lagi selangkah atau dua langkah, yakni secara terpisah-pisah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda