DENPASAR, 31 DIS – Pentadbiran Bali merasmikan Menara Turyapada, sebuah menara penyiaran dan pemerhatian setinggi 115 meter, yang dijangka menjadi mercu tanda baharu di bahagian utara pulau peranginan popular itu.
Menara tersebut terletak di atas bukit setinggi 1,521 meter di Kampung Pegayaman, daerah Buleleng, yang dikenali sebagai perkampungan Muslim tertua di Bali yang majoritinya beragama Hindu. Ia menjadi struktur buatan manusia kedua tertinggi di Bali, selepas patung Garuda Wisnu Kencana setinggi 121 meter yang dilancarkan pada 2018 di daerah Badung.
Struktur tinggi jarang ditemui di Bali sejak pentadbiran pulau itu memperkenalkan kod bangunan pada 1970an yang menetapkan ketinggian maksimum bangunan pada 15 meter, kira-kira setinggi pokok kelapa matang, demi menjaga budaya dan kelestarian alam sekitar.
Projek pembinaan menara itu bermula pada 2022 oleh syarikat milik kerajaan, PT Hutama Karya, dengan kos kira-kira AS$20.4 juta. Walaupun sepatutnya siap pada Ogos tahun lalu, pembinaan mengalami kelewatan disebabkan cuaca buruk dan cabaran kewangan.
Sebaik beroperasi sepenuhnya, Menara Turyapada akan menyediakan liputan isyarat televisyen, Internet, telefon bimbit, dan radio yang dijangka meliputi 80 peratus kawasan di daerah Buleleng serta kawasan berhampiran seperti Jembrana dan Karangasem.
“Menara ini diharap dapat menyediakan isyarat telekomunikasi ke kawasan blank spot di daerah Buleleng,” kata Pemangku Gabenor Bali, Sang Made Mahendra Jaya, semasa majlis pelancaran menara itu.
Istilah blank spot merujuk kepada kawasan yang tidak mempunyai atau kekurangan isyarat telekomunikasi. Walaupun bahagian selatan Bali berkembang pesat dengan hotel mewah dan vila yang menghiasi pesisir pantainya, bahagian utara pula lebih tenang, kurang dikunjungi pelancong, dan mempunyai akses komunikasi yang terhad. – ANN/Jakarta Post