Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mengaku bersalah seludup manusia

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Seorang lelaki warga Malaysia yang mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penyeludupan manusia akan mengetahui hukumannya pada 7 Julai ini di Mahkamah Perantaraan.

    Tarikh sebutan hukuman ditetapkan Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli terhadap Radiman bin Alidin, 38, yang didakwa menyeludup tiga orang wanita warga Filipina ke negara ini.

    Fakta kes menyebut, tertuduh mengenali tiga wanita itu di Labuan pada sekitar Oktober 2017 kira-kira jam 10 pagi, yang mana wanita-wanita berkenaan meminta bantuannya untuk melepaskan mereka daripada pekerjaan sebagai pelayan di sebuah kelab malam di Labuan.

    Memandangkan pasport warga Filipina itu dalam simpanan majikan mereka, tertuduh bersetuju untuk melakukan penyeludupan dan meminta bayaran RM1,300.

    Sehari sebelum wanita-wanita itu diseludup masuk ke Brunei sekitar Oktober 2017, tertuduh menerima wang pendahuluan sebanyak RM500.

    Tertuduh turut dijanjikan wang tunai, barang elektronik, jam tangan dan pengecas power bank jika rancangan penyeludupan itu berjaya.

    Mengikut perancangan, warga Filipina itu akan berikhtiar sendiri untuk pulang ke negara mereka sebaik tiba di Brunei.

    Tertuduh dan warga Filipina berkenaan membuat perjalanan menggunakan bot pada 25 Oktober 2017 sekitar jam 10:30 pagi, yang mana baki bayaran RM800 terus dibayar kepada tertuduh.

    Bot yang dinaiki tiba di Pantai Serasa pada waktu tengah hari dan wanita itu dijemput oleh dua lelaki warga tempatan. Tertuduh kemudian pulang semula ke Labuan.

    Warga Filipina yang berada di negara ini secara haram, berjaya diberkas pihak berkuasa yang terus menjalankan pencarian tertuduh.

    Apabila mendapati tertuduh tidak berada di Brunei, pihak berkuasa mengeluarkan senarai ‘henti’ ke atas tertuduh yang terus ditahan sebaik memasuki negara ini pada 25 Mei 2018.

    Kes terhadap tertuduh didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda