Tuesday, September 24, 2024
34.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri Hal Ehwal Ugama terima kunjungan hormat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Syarikat Nozoly di Arab Saudi, Dato Jamil Sulaiman Bondagjy, yang merupakan penyedia perkhidmatan haji bagi jemaah haji Negara Brunei Darussalam di Mekah, Madinah, dan Mashaer (Arafah dan Mina), bertempat di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.

    Semasa kunjungan berkenaan, Dato Jamil Sulaiman Bondagjy mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam, khususnya Pejabat Urusan Jemaah Haji, atas kejayaan pengurusan haji bagi musim haji tahun 1445H/2024M yang berjalan dengan cemerlang.

    Jemaah haji Negara Brunei Darussalam juga telah melaksanakan ibadat haji dengan lancar dan sempurna.

    Beliau seterusnya berharap agar kerjasama yang terjalin dapat ditingkatkan lagi pada masa akan datang.

    Turut hadir pada kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pengarah Urusan Haji, Haji Abdullah bin Haji Mohamad serta pegawai-pegawai Jabatan Urusan Haji, KHEU.

    Terdahulu, Dato Jamil Sulaiman Bondagjy mengadakan perjumpaan dengan Haji Abdullah, selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam, di Bilik Mesyuarat Jabatan Urusan Haji, KHEU.

    Antara tujuan perjumpaan tersebut adalah untuk membincangkan persiapan pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 1446H /2025M, khususnya untuk meneliti perkhidmatan haji di Mashaer (Arafah dan Mina) sebagai usaha untuk menambah baik pengurusan haji pada musim haji akan datang.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai semasa menerima kunjungan hormat daripada Dato Jamil Sulaiman Bondagjy, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda