Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Jati Transport telah memperkenalkan Mercedes S-Class S 450 dan S 580 terbaharu untuk pasaran Negara Brunei Darussalam, di Bilik Pameran Autohaus, Beribi.
Kedua-dua model S-Class berkenaan merupakan generasi ketujuh yang rekaannya mirip E-Class terkini dengan gril depan baharu yang lebih besar, diapit lampu lebih lebar dan nipis.
Lampu LED Digital Light terdiri daripada 1.3 juta cermin mikro di setiap unit untuk nyalaan tepat tanpa menyilaukan pengguna jalan raya dari arah bertentangan.
Di bahagian sisi, S-Class berkenaan didatangkan dengan pembuka pintu flush yang akan masuk kemas ke dalam badan apabila tidak digunakan, memberikan permukaan minimum selain menambah baik aerodinamik.
Lampu belakangnya kini terdiri daripada unit two-piece seperti CLS dan dihubungkan dengan bar krom di tengah.
Menurut Mercedes, reka bentuk baharu S-Class itu memberikan drag coefficient serendah 0.22.
Konsep minimalis juga dibawakan ke bahagian dalam, di mana ia menampilkan papan pemuka dengan skrin sesentuh besar di tengah.
Untuk pemandu pula, terdapat satu skrin khas di depan stereng untuk paparan instrumen yang juga boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu (Discreet, Sporty, Exclusive, Classic). Terdapat juga tiga mod iaitu Navigation, Assistance dan Service.
Seperti biasa, segala keselesaan dan kemewahan diutamakan untuk bahagian belakang dengan bahan premium seperti kulit Nappa dan kayu Anthracite.
Dari segi teknologi, Mercedes S-Class dilengkapi Mercedes-Benz User Experience (MBUX), E-Active Body Control, Rear-wheel Steering, sistem audio Burmester dan pakej keselamatan PRE-SAFE
Mercedes S 580 dipacu enjin turbo 3.0 liter enam silinder yang menjana tork 700Nm.
Manakala itu, S 450 pula dilengkapi enjin 2,999cc yang mampu menjana tork 500Nm.