Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi bantu Miami julang Supporters’ Shield

    WASHINGTON, 3 OKT – Lionel Messi menjaringkan dua gol ketika Inter Miami menewaskan juara bertahan Major League Soccer (MLS), Columbus Crew, 3-2 untuk merangkul gelaran Supporters’ Shield, anugerah bagi pasukan dengan rekod musim biasa terbaik.

    Messi, yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan dua bulan, membuka jaringan pada minit ke-45 apabila mengawal bola dengan kemas dalam kotak penalti sebelum menerima lantunan bertuah daripada pertahanan Columbus, Malte Amundsen, untuk menjaringkan gol pertama.

    Hanya beberapa minit kemudian, Messi sekali lagi mempamerkan kehebatannya dengan sepakan percuma yang tepat, melengkung masuk ke sudut gawang melepasi penjaga gol Columbus, Patrick Schulte, untuk menjadikan kedudukan 2-0.

    Dengan dua gol tersebut, Messi kini telah menjaringkan 17 gol serta menghasilkan 15 assist dalam 17 penampilan musim ini.

    Namun, Columbus Crew bangkit pada awal babak kedua, merapatkan jurang kepada 2-1 melalui jaringan Diego Rossi yang berjaya menyudahkan hantaran di dalam kotak penalti.

    Tidak lama selepas itu, kesilapan Schulte membuka peluang kepada Luis Suarez untuk menanduk masuk gol ketiga Inter Miami selepas bola terlepas daripada kawalan Schulte.

    Walau bagaimanapun, Columbus terus memberi tekanan dengan menjaringkan gol kedua melalui penalti yang disempurnakan oleh Cucho Hernandez selepas Noah Allen didapati melakukan kesalahan handball di dalam kotak penalti.

    Momentum Columbus terganggu apabila Rudy Camacho dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua akibat terjahan keras ke atas Federico Redondo.

    Tujuh minit sebelum perlawanan tamat, Columbus berpeluang menyamakan kedudukan apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas tinjauan VAR mendapati Ian Fray melakukan kesalahan handball.

    Bagaimanapun, penalti Cucho Hernandez kali ini diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol Miami, Drake Callender, sekali gus mengesahkan kemenangan dan gelaran Supporters’ Shield buat Inter Miami. – AFP

    Aksi Messi ketika perlawanan tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda