FORT LAUDERDALE, 10 MAC – Lionel Messi hanya menyaksikan dari bangku simpanan ketika Inter Miami yang beraksi dengan 10 pemain berjaya mempertahankan kemenangan 1-0 ke atas Charlotte FC dalam saingan Major League Soccer (MLS) kelmarin.
Bintang Argentina itu tidak diturunkan oleh jurulatih Javier Mascherano dalam perlawanan yang menyaksikan Miami lebih banyak bertahan selepas penjaga gol, Oscar Ustari, dilayangkan kad merah pada minit ke-38.
Ini merupakan perlawanan ketiga berturut-turut di mana Messi tidak diturunkan.
Sebelum ini, dia tidak menyertai pasukan ketika kemenangan 4-1 ke atas Houston dalam MLS minggu lalu dan hanya menonton aksi kemena-ngan 2-0 Miami ke atas Cavalier dari Jamaica dalam perlawanan pertama CONCACAF Champions Cup pada Khamis.
Mascherano menjelaskan bahawa beliau sedang menguruskan tahap kecergasan pemenang Piala Dunia berusia 37 tahun itu. Walaupun ketiadaan Messi mengecewakan peminat, Miami tetap mencatat keputusan positif di atas padang.
Para penyokong bersorak meminta Messi dimasukkan, tetapi Mascherano lebih memilih untuk membuat pertukaran defensif bagi memastikan pasukannya mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini. – AFP
