MEXICO, 19 JAN – Sebuah terowong rahsia yang ditemui di sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico yang membenarkan kemasukan migran dari Ciudad Juarez ke bandar El Paso di Texas akan ditutup oleh pihak berkuasa Mexico, kata seorang pegawai tentera kelmarin, sambil menambah pembinaannya sedang disiasat.
Terowong tersebut ditemui pada 10 Januari oleh agensi keselamatan AS dan Mexico, dan panjangnya kira-kira 300 meter di bahagian Mexico. Ia dilengkapi dengan pencahayaan, pengudaraan dan diperkukuh untuk mengelakkan runtuhan.
Tersembunyi dalam sistem saluran kumbahan yang beroperasi antara kedua-dua bandar tersebut, akses terowong itu adalah kira-kira 1.8 meter tinggi dan 1.2 meter lebar, memudahkan laluan bagi orang atau barangan seludup, kata Jeneral Jose Lemus, komander tentera Ciudad Juarez yang mengawal terowong tersebut.
Pembinaan terowong itu “pasti memakan masa yang lama, ia mungkin mengambil masa satu atau dua tahun,” kata Lemus kepada pemberita, enggan memberikan butiran lanjut mengenai berapa lama terowong itu telah beroperasi serta siapa yang mungkin membina dan mengendalikannya.
Beliau berkata Pejabat Peguam Negara Mexico bertanggungjawab untuk menyiasat dan akan menentukan jika terdapat kerjasama dari pihak berkuasa kerana terowong itu dibina tanpa disedari oleh mereka.
Lemus juga berkata petunjuk tentang kewujudan dan lokasi terowong itu telah dibincangkan oleh penyeludup manusia di platform media sosial seperti TikTok.
Sebelum majlis pelantikan Presiden AS, Donald Trump esok, kedua-dua belah sempadan AS-Mexico telah memperketatkan langkah-langkah keselamatan, ketika calon Republikan yang bakal dilantik itu berikrar akan melaksanakan kempen penghantaran pulang pendatang secara besar-besaran sejurus selepas beliau memegang jawatan. – AFP