MEXICO CITY, 22 NOV – Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum semalam menyuarakan kesediaan untuk kemungkinan pengusiran besar-besaran pendatang oleh Amerika Syarikat (AS), yang menurut Presiden Terpilih AS, Donald Trump akan berlaku sebaik sahaja beliau memegang jawatan, lapor Xinhua.
“Sekiranya berlaku pengusiran, kami akan menerima warga Mexico, dan kami sudah mempunyai rancangan untuk itu,” kata Sheinbaum dalam sidang media.
Beliau turut menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan memperlakukan pendatang seperti penjenayah, sambil menegaskan bahawa ‘institusi keadilan wujud di seluruh dunia’ untuk melindungi hak asasi manusia.
Sheinbaum berkata kerajaan sedang mengukuhkan rangkaian konsulat Mexico di AS bagi melindungi migran yang berisiko diusir. – Bernama