Saturday, September 28, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Misi cari pendaki gunung Jepun dihentikan

    PESHAWAR, 21 JUN – Pasukan penyelamat telah membatalkan usaha mencari pendaki gunung Jepun yang hilang seminggu lalu ketika cuba mendaki salah sebuah gunung tertinggi di utara Pakistan, kata pegawai, kelmarin.

    Pihak berkuasa berkata peluang menemui Atsushi Taguchi, 36, hidup adalah tipis apabila rakan pendakinya Ryuseki Hiraoka terbunuh ketika mendaki Gunung Spantik setinggi 7,027 meter, juga dikenali sebagai Gunung Golden. Kedua-duanya hilang pada 13 Jun lalu, dan mayat Hiraoka ditemui dua hari selepas kejadian itu.

    Gunung Golden terkenal dengan rona keemasan yang berbeza pada waktu matahari terbit dan terbenam, menjadikan puncak itu sebagai destinasi pelancong popular.

    “Misi mencari pendaki Jepun kedua telah dibatalkan Rabu lalu,” kata pegawai tempatan, Nazar Hussain.

    Beliau berkata anggota penyelamat tidak melihat sebarang tanda pendaki yang hilang semasa operasi mencari.

    Setiausaha Kelab Alpine Pakistan, Karrar Haidri, juga berkata bahawa pencarian untuk pendaki Jepun kedua telah diberhentikan.

    Dia enggan membuat sebarang spekulasi mengenai nasib pendaki yang hilang itu, dan berkata ‘peluang untuk hidup dalam kes sedemikian sangat tipis, tetapi keluarganya mengharapkan keajaiban akan berlaku.’

    Beberapa pendaki mati di Pakistan setiap tahun ketika cuba menawan beberapa puncak gunung tertinggi di dunia, termasuk K2, yang terletak di utara Pakistan. – AP

    Gambar fail menunjukkan Pengurus Adventure Tours Pakistan, Nizamuddin, memaparkan gambar pendaki Jepun Atsushi Taguchi, yang telah hilang semasa dia dan seorang lagi pendaki sedang mendaki Gunung Spantik di Skardu, Pakistan, 16 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda