Saturday, September 14, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoU tingkat kualiti perkhidmatan talian

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Comquest Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Penandatanganan Perjanjian Perkhidmatan bagi Operasi dan Penyelenggaraan Pusat Panggilan Kebangsaan Talian ANAK 121 dan Talian Kebajikan 141 petang tadi di bangunan KKBS.

    Dalam kenyataan JAPEM, majlis penandatanganan diwakili oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Pengurus Am Comquest, Guarav Shrotriya.

    Hadir menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh dan Pengurus Operasi Comquest, Hajah Juridah binti Maidin.

    Penandatanganan perjanjian di antara JAPEM dan Comquest merupakan kesinambungan daripada penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2019 antara JAPEM dan Telekom Brunei (kini dikenali imagine Sdn Bhd) dan MoU yang dimeterai pada 2021 antara JAPEM, imagine dan Comquest.

    Kerjasama yang dimeterai sejak tahun 2019 bukan sahaja melancarkan Talian ANAK 121 yang dikhususkan untuk kanak-kanak di negara ini, bahkan untuk menyediakan sebuah pusat panggilan JAPEM yang dilengkapi dengan sistem yang menyeluruh.

    Hajah Nor Ashikin dan Guarav Shrotriya bergambar ramai sejurus selepas menandatangani MoU di bangunan KKBS, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Setelah lima tahun penubuhannya, pusat panggilan JAPEM telah menghasilkan impak yang amat signifikan terhadap meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan dan kementerian serta memberikan kemudahan kepada orang ramai, yang memerlukan pertolongan untuk menyalurkan dan mengongsi pertanyaan serta aduan, berkaitan hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan mereka.

    Dari tahun 2020 hingga Julai 2024, Talian ANAK 121 telah menerima sebanyak 1,881 panggilan yang mana 90 peratus adalah panggilan meminta maklumat dan 10 peratus aduan melibatkan kebajikan dan kemaslahatan kanak-kanak di negara ini.

    Talian Kebajikan 141 adalah platform rasmi JAPEM untuk orang ramai membuat sebarang aduan, pertanyaan atau permohonan yang berkaitan dengan Sistem Kebajikan Negara (SKN) di samping perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.

    Dari tahun 2020 hingga Julai 2024, Talian Kebajikan 141 menerima lebih 82,000 panggilan yang mana 95 peratus panggilan bertanyakan maklumat dan 5 peratus panggilan aduan.

    Kedua-dua talian bantuan merupakan talian bebas tol dan beroperasi 24 jam di Pusat Panggilan JAPEM dan segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan.

    Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Talian Kebajikan 141 jika ingin melaporkan sebarang isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kemaslahatan orang ramai.

    Bagi kanak-kanak dan orang muda yang berhasrat untuk meluahkan perasaan dan membuat aduan tanpa rasa takut bolehlah menghubungi Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda