KUALA LUMPUR, 26 Feb – Pengeluar kereta terkenal, PSA Group dari Perancis mempunyai rancangan besar untuk mentransformasi Malaysia sebagai pangkalan srategik bagi membangun dan mengeluarkan kereta baharu untuk pasaran global jika cadangan kerjasamanya dengan Proton menjadi kenyataan, kata sumber industri.
Beliau juga berkata, PSA Group yang mengeluarkan kereta Peugeot dan Citroen, merancang untuk membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Asia.
Ini bermakna jika mereka dapat bekerjasama dengan Proton, Malaysia sudah pasti akan mendapat manfaat dengan menjadi pusat R&D Asia PSA.
Oleh itu, usaha sama dengan rakan kongsi stategik asing akan membolehkan pengeluar kereta nasional itu berkembang ke peringkat global.
Ketika ini, sebagai syarikat yang berdiri sendiri dan tidak menggunakan sepenuhnya kapasiti pengeluaran bagi dua kilangnya, beliau berkata, adalah mustahil untuk Proton mencapai ekonomi skala besar bagi bersaing dalam pasaran global.
Proton memerlukan kepakaran serta dana untuk program R&D bagi membolehkannya bersaing dengan jenama kereta global sama ada di dalam negara atau seberang laut kerana ia masih berada di peringkat bawah dalam teknologi automotif tempatan.
Ini kerana kos R&D boleh mencecah berbilion ringgit dan Proton tidak mampu untuk melaksanakannya secara sendirian.
Sebagai contoh, kos pembangunan hanya satu model, Proton Iriz bernilai RM600 juta dan ini tidak termasuk pemasaran, pengedaran dan kos lain yang berkaitan.
Untuk mendapatkan kembali kos pembangunan sebanyak RM600 juta itu, iaitu kira-kira RM60,000 seunit, Proton perlu menjual 10,000 kereta Iriz, kata sumber tersebut.
Penggiat lain dalam industri seperti Honda dan Toyota, mampu untuk menyebarkan kos mereka kepada berjuta-juta kereta kerana kereta mereka dijual di seluruh dunia.
“Oleh itu, kos berkenaan disebarkan dengan volum yang tinggi di banyak negara,” kata sumber berkenaan.
Awal minggu ini, Geely Automobile Holdings Ltd dari China berkata, ia bersedia berkongsi kepakaran yang dibangunkan secara bersama dengan kereta Volvo, iaitu anak syarikat Swedennya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menguasai Proton.
Selain itu, Volvo milik Geely di Malaysia telah memperoleh status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) untuk modelnya yang dilengkapkan dengan enjin Drive-E tahun lepas. – Bernama