KUALA LUMPUR, 18 DIS – Majlis Sukan Negara (MSN) memberi masa sehingga hujung tahun ini kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memutuskan penyenaraian jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam Program Podium tahun depan.
Timbalan Ketua Pengarah MSN (Pembangunan Sukan) Jefri Ngadirin berkata sekiranya pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu bersetuju untuk kekal di dalam program berkenaan, beliau perlu mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan MSN termasuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile, Oktober tahun depan.
“Sebagaimana atlet-atlet lain, mereka ada KPI masing-masing yang perlu dicapai dan kami juga letakkan KPI kepadanya (Mohd Azizulhasni) yang boleh dicapai. Jadi, kalau beliau bersetuju dengan KPI yang ditetapkan dan setuju terima syarat berkenaan, kami akan tawarkannya untuk masuk ke Program Podium.
“Kami akan kemukakan tawaran (ke Program Podium) pada 1 Januari, jadi dalam masa terdekat ini kami akan minta persatuan berhubung dengan beliau,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Jelajah Juara Esports Malaysia 2024 di Kuala, hari ini.
Semalam, media melaporkan PKBM dan MSN bersetuju untuk mengekalkan atlet berusia 36 tahun itu dalam Program Podium tahun depan namun mengemukakan syarat untuk beliau melayakkan diri ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025. – Bernama