Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    MTIC bakal titik beratkan tiga pemacu nilai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah menilai semula keberkesanan projek yang telah dilaksanakan, meliputi strategi yang sedang dirancang serta mengukur pencapaian dan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Dalam hubungan itu, kementerian telah membuat semakan pertengahan penggal terhadap Pelan Strategik MTIC 2025 dan sebagai rumusan mengenainya, kementerian telah mengenal pasti perkara yang memerlukan penambahbaikan dan akan menanganinya secara sistematik serta menitikberatkan tiga pemacu nilai.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucapan alu-aluannya semasa Sesi Perjumpaan Muhibah di antara ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-jabatan serta Pihak-pihak Berkuasa di bawahnya bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan Bangunan MTIC, hari ini.

    Beliau menerangkan lagi bahawa pemacu nilai itu ialah untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin, memastikan kesejahteraan dan penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih dan efisien serta mendukung kemajuan ekonomi yang mampan.

    Dalam hubungan itu, ulasnya, tumpuan tindakan adalah kepada penyediaan dan mengemaskinikan Manual Prosedur Kerja (MPK), perkara asas yang perlu diterapkan untuk digunakan dan dikemas kini mengikut peranan dan tugasan yang diberikan.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada sesi perjumpaan muhibah antara MTIC dan ahli MMN di Dewan Amar Pahlawan, kelmarin.

    Dengan MPK yang jelas, tambahnya, organisasi berkenaan akan lebih fokus dalam menjalankan peranannya.

    “Seterusnya ialah mengikut piawaian sebagai rujukan yang jelas terutama sekali dalam penyediaan perkhidmatan kepada orang ramai dan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua serta pemantauan prestasi. Perkara ini perlu diberikan perhatian terutama dalam memastikan pelaksanaan strategi dan pencapaian key performance indicators (KPI) serta dalam pengurusan projek ke arah memantapkan ekonomi negara dan memastikan tidak ada pembaziran dalam sumber tenaga manusia serta kewangan,” tambahnya.

    Yang Berhormat Pengiran Dato seterusnya menyatakan, kementeriannya telah mengenal pasti dan menilai perkara yang boleh mengancam keberkesanan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya untuk menjalankan peranan serta mencapai objektif pelan strategik mahupun hasrat wawasan 2023.

    Pada masa ini, jelasnya, sebanyak 23 risiko telah dikenal pasti dan setiap satu akan memerlukan pelan mitigasi atau pelan tindak balas untuk menanganinya.

    “Ia juga akan disemak semula dari semasa ke semasa dan di sinilah jua saya mengalu-alukan tinjauan dan pandangan Yang Berhormat semua pada hari ini dan juga pada bila-bila masa untuk mengongsikan pandangan dan memberikan apa jua input mengenainya atau terdapat perkara penting yang terlepas pandang oleh kementerian ini,” ujarnya.

    Beliau menerangkan bahawa perkara yang perlu ditangani sangat meluas adalah perkara yang berlaku pada latar belakang iaitu di luar pandangan orang ramai termasuk memastikan keselamatan dan sekuriti aset dan petugas, ancaman siber, penyediaan sistem pengangkutan awam yang berkesan dan mampan, gangguan kepada perkhidmatan rangkaian, ketidakcukupan sumber tenaga manusia dalam jawatan kritikal, penyelenggaraan peralatan kritikal dan penting, keberkesanan dalam melaksanakan penguatkuasaan dan pengawalseliaan serta cabaran untuk mencapai kecemerlangan dalam melaksanakan strategi-strategi di bawah pelan-pelan strategik MTIC.

    Yang Berhormat Pengiran Dato juga mengongsi pencapaian-pencapaian yang dihasilkan dan membanggakan termasuk peningkatan ke atas peratus penduduk Negara Brunei Darussalam telah mendapatkan akses kepada Internet melalui jalur lebar dan Brunei Content Festival (BCF) 2022 yang julung kali dianjurkan oleh AITI bagi menggalakkan penyertaan tempatan dalam perkembangan industri penyiaran dan pembuatan kandungan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...