Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Murid Sekolah Antarabangsa Labuan juara pertandingan bercerita global

    LABUAN – Murid tahun satu Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), Cayden Tiong Chen Min muncul juara Pertandingan Bercerita Dunia GEMA 2024.

    Pengetua LIS, Fadlin Aimuni Binting berkata pertandingan yang menampilkan pencerita muda dari seluruh dunia itu menyaksikan Cayden mengungguli Kategori B sekali gus menewaskan peserta dari Mumbai, India dan Batangas, Filipina yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas keputusan dikeluarkan pada awal September.

    GEMA, platform pendidikan antarabangsa dalam talian yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkenal dengan kelas dalam talian bertaraf dunia bagi mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Pengekodan.

    Pertandingan Bercerita Dunia GEMA itu adalah antara acara yang paling dinanti-nantikan, memupuk kreativiti dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar muda.

    Fadlin Aimuni berkata kemenangan Cayden bukan sahaja menyerlahkan bakat berceritanya, tetapi juga kualiti pendidikan yang disediakan oleh LIS.

    Pertandingan berkenaan melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang, masing-masing menghidupkan kisah unik melalui naratif masing-masing.
    Gambar Freepik

    “Kemenangan ini membanggakan sekolah dan masyarakat setempat, mempamerkan potensi bakat muda dari Malaysia di pentas global. Guru-guru dan rakan sebaya turut meraikan kejayaan Cayden,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Pertandingan berkenaan melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang, masing-masing menghidupkan kisah unik melalui naratif masing-masing.

    Beliau berkata penceritaan imaginatif Cayden bertajuk The Very Hungry Catepillar dan penyampaian yang penuh perasaan memikat hati para juri.

    “Kemenangan ini dijangka memberikan inspirasi kepada lebih ramai pelajar di LIS untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang kreativiti dan akademik.

    “Pencapaian Cayden pada Pertandingan Bercerita Dunia GEMA ini bukan sahaja melakar kejayaan peribadi, tetapi juga menekankan kepentingan memupuk bakat muda dalam persekitaran pembelajaran yang menyokong dan dinamik,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda