LONDON, 12 DIS – Andy Murray (gambar) mengumumkan perpisahan dengan jurulatihnya Jamie Delgado dan tidak akan bersama lagi dengan jurulatih itu pada musim depan, menurut laporan dalam media British.
Delgado mula melatih Murray sejak 2016, membantunya merangkul gelaran Wimbledon kedua dan menjadi pemain nombor satu dunia pada tahun yang sama.
Beliau mengambil alih tugas jurulatih utama daripada Ivan Lendl pada 2017, sebelum karier Murray dibelenggu kecederaan pinggul.
Walaupun kembali dalam siri jelajah ATP dengan dua siri pembedahan, pemain berusia 34 tahun itu kini merosot ke tangga 134 dunia.
Delgado dilaporkan akan bekerjasama dengan pemain Kanada, Denis Shapovalov yang kini berada di ranking ke-14 dunia.
Murray akan meneruskan siri perlawanan percubaan menentang pemain Jerman, Jan De Witt di Abu Dhabi minggu depan sebagai persediaan menjelang Terbuka Australia pada bulan depan.
Pemain Scotland itu, yang baru-baru ini bekerjasama dengan bekas jurulatih Johanna Konta, Esteban Carril akan bertemu Dominic Thiem di Kejohanan Tenis Dunia di Mubadala dan akan berdepan Rafael Nadal jika berjaya menewaskan pemain Austria itu. – AFP