Bekas isteri kepada pelawak Indonesia, Sule iaitu Nathalie Holscher meluahkan rasa bengang tidak dibenarkan mengambil wang daripada pengunjung ketika bekerja sebagai deejay (DJ) di sebuah kelab malam.
Kata Nathalie, 32, duit tip diterima itu bukanlah untuk dirinya seorang, sebaliknya dikongsi bersama rakan sekerja lain.
“Saweran (kutip wang dari pengunjung) ada adab dan bahagiannya. Saya juga tahu berapa banyak yang perlu diberikan kepada anak buah saya dan pengacara majlis,” katanya memetik laporan mStar.
Kata Nathalie dia bengang kerana duit tersebut mahu digunakan untuk membeli susu anaknya iaitu Adzam.
Malah dia bekerja keras mencari sumber pendapatan bagi meneruskan hidup bersama anaknya itu.
Biarpun Sule diwajibkan memberikan nafkah untuk anak mereka bernilai Rp25 juta (RM7,200) sebulan, namun Nathalie enggan menerimanya kerana mahu memulakan hidup baharu tanpa bayangan bekas suaminya itu.
Katanya, dia masih mampu hidup berdikari dan disebabkan itu dia memutuskan untuk kembali bekerja sebagai DJ kelab malam semula.
Nathalie mula aktif menjadi DJ pada 2018 dan pernah tersenarai dalam calon 100 DJ terbaik pada tahun itu.
Untuk rekod, Nathalie berkahwin dengan Sule pada November 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Rumah tangga pasangan itu dilanda badai pada 2021 sebelum sah bercerai pada Ogos 2022. – Agensi