Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Negara Brunei Darussalam yang berada di fasa kedua Monsun Timur Laut mengalami keadaan cuaca panas dan kering.
Pada waktu siang, suhu udara harian maksimum ada kalangya boleh meningkat antara 33°C ke 35°C serta keadaan kering juga boleh menyebabkan cuaca sedikit berjerebu.
Di samping itu, fenomena El Nino berpotensi menyebabkan peningkatan suhu udara menjadi lebih tinggi semasa tempoh berkenaan.
Keadaan cuaca berangin juga dijangka berlaku sekali-sekala terutama semasa belaknya luranan angin Timur Laut yang aktif di kawasan Laut China Selatan seperti yang berlaku semasa minggu kedua Februari.
Keadaan laut boleh sekali-sekala meningkat ke bergelora semasa keadaan angin kencang.
Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut dan dijangka akan berterusan sehingga Mac 2024.
Semasa tempoh berkenaan, pada kebiasaannya keadaan atmosfera cenderung lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.
Secara relatif, jelas jabatan berkenaan, Februari dan Mac dikategorikan sebagai dua bulan terkering dengan jumlah purata turunan hujan yang terendah direkodkan berbanding dengan bulan-bulan lain.
Berasaskan data klimatologi, jumlah purata turunan hujan bagi Februari ialah 162.9 mm dan bagi Mac ialah 143.4 mm.
Berdasarkan jangkaan iklim bermusim yang terkini yang dikeluarkan oleh pusat iklim dunia, fenomena El Nino yang berintensiti kuat masih berlaku di Lautan Pasifik dan dijangka akan beransur-ansur berkurangan sekitar Mei hingga Jun 2024.
Kehadiran fenomena El Nino berkenaan dijangka akan mengurangkan lagi jumlah turunan hujan di negara kita bagi beberapa bulan yang akan datang.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan yang bersesuaian terhadap keadaan cuaca panas dan kering yang diramalkan berlaku. Keadaan laut bergelora adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan aktiviti rekreasi dan sukan di laut.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWewather.