INDONESIA, 1 DIS – Nelayan Indonesia kelmarin menyelamatkan 116 pelarian Rohingya, kebanyakan wanita dan kanak-kanak yang kelaparan dan lemah, selepas bot usang mereka karam, menurut pegawai tempatan.
Kumpulan tersebut berlayar dari kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh dengan harapan untuk sampai ke Indonesia atau Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik, namun mereka terkandas di sebuah pulau di wilayah utara Aceh, kata ketua polis tempatan, Nova Suryandaru.
“Penduduk membantu mereka kerana kelihatan sangat lemah akibat kelaparan dan dehidrasi,” katanya, namun menambah bahawa ramai penduduk tempatan menentang kehadiran mereka untuk jangka masa panjang.
Antara Februari hingga Oktober, seramai 230 pelarian telah tiba di daerah Aceh Timur, dan 173 daripada mereka meninggalkan tempat perlindungan secara sendiri.
Kira-kira 1 juta pelarian Rohingya yang majoritinya beragama Islam tinggal di Bangladesh selepas melarikan diri dari Myanmar. Ini termasuk kira-kira 740,000 orang yang melarikan diri akibat kempen ganas pada tahun 2017 oleh pasukan keselamatan Myanmar, yang dituduh melakukan jenayah seperti rogol besar-besaran dan pembunuhan.
Minoriti Rohingya di Myanmar menghadapi diskriminasi meluas, dan kebanyakan mereka dinafikan kewarganegaraan.
Indonesia telah merayu kepada komuniti antarabangsa untuk bantuan susulan peningkatan mendadak pelarian Rohingya yang meninggalkan kem-kem yang padat di Bangladesh sejak tahun lalu. – AP