KUALA LUMPUR – Bergandingan dengan hero sensasi kegilaan ramai, Fattah Amin dalam drama Dia Anak Jeneral tidak sedikitpun membuatkan Niena Baharun gentar.
Malah, Niena yang mencipta nama melalui drama Sayangku Kapten Mukhriz, tidak bimbang jika dibandingkan dengan Neelofa yang berlakon dengan Fattah dalam drama rantaian ‘meletup’, Suri Hati Mr Pilot.
Ketika ini, Niena yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, sedang rancak melunaskan baki penggambaran drama Dia Anak Jeneral arahan Khalid Nadzri.
Dalam drama itu, Niena memegang watak Syirin. “Tiada rasa takut atau bimbang dibayangi heroin (Neelofa) sebelum ini. Bagi saya, setiap pelakon ada cara lakonan tersendiri. Lagipun, saya tak suka campur soal kehidupan peribadi dengan kerjaya. Ini cara saya bekerja. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon. Sebagai pelakon baru, saya tetap menghormati pelakon senior,” katanya.
Mengenai Fattah, Niena atau nama sebenarnya, Amaniena Kamarul Baharun mengaku cukup senang bekerjasama dengan Fattah.
“Alhamdulillah, sepanjang menjalani penggambaran, dia amat menyenangkan. Kami saling memberi kerjasama. Hari pertama berlakon dengannya, saya tak nafikan kami agak kekok kerana belum pernah bekerjasama.
“Cuma selepas beberapa hari, keselesaan itu terpancar. Kami juga bantu membantu menghidupkan watak masing-masing,” katanya.
Drama 26 episod, Dia Anak Jeneral memulakan penggambaran sejak awal bulan lalu dan dijangka berakhir April depan.