Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nilai karya gambarkan pemikiran penulis

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Sastera dan Majalah, hari ini, telah menganjurkan Pantaran Sastera, DBP 2022: Bedah Karya yang berlangsung secara maya melalui penstriman Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom.

    Lebih 150 orang menghadiri majlis berkenaan termasuk Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, para penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, pegawai dan kakitangan DBP, wakil dari jabatan-jabatan di bawah KKBS, ahli akademik serta mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, para penulis, persatuan dan penggiat seni sastera, bahasa dan budaya dari dalam dan luar negara.

    Pada acara itu, dua buah karya sastera telah diapresiasi iaitu Kumpulan Puisi Tarian Naga di Puncak Menara karya Mahmudamit (penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi 2012) dengan pembicara karya, Penolong Profesor di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Haji Rozaiman bin Makmun.

    Satu lagi ialah Kumpulan Sajak Mata Hati II (2018) karya Salmi Mesra (penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi 2019) dibicarakan oleh penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi 2020, Dr Haji Morsidi bin Haji Muhamad yang juga selaku pakar pengkritik sastera.

    Terdahulu, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, pelaksanaan kegiatan bedah karya berkenaan merupakan antara pengisian kegiatan Pantaran Sastera DBP yang disusun atur dalam usaha jabatan berkenaan bersama rakan strategi DBP untuk memartabatkan serta memperkasa bahasa dan kesusasteraan Melayu di negara ini.

    Antara yang hadir semasa bedah karya berkenaan yang diadakan secara maya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda