Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Norway batal perlindungan suaka automatik pelarian Ukraine

    OSLO, 27 SEPT – Norway tidak lagi akan memberikan suaka secara automatik kepada semua rakyat Ukraine, kata kerajaannya hari ini, dengan pemohon yang tiba dari barat Ukraine akan diperiksa berdasarkan kes berasingan.

    Selepas tercetusnya peperangan antara Rusia dengan Ukraine pada Februari 2022, pihak berkuasa Norway memutuskan untuk memberikan ‘perlindungan kolektif’ kepada semua pelarian Ukraine dengan memberikan suaka secara automatik.

    Dalam tempoh dua setengah tahun yang lalu, Norway, sebuah negara dengan 5.6 juta penduduk, telah menerima kira-kira 85,000 rakyat Ukraine, yang menurut Oslo, adalah lebih banyak berbanding dengan jiran Nordic yang lain.

    “Kami tidak boleh menerima jumlah yang tidak seimbang daripada orang yang dipindahkan berbanding dengan negara-negara serupa, seperti negara-negara Nordic,” kata Menteri Kehakiman, Emilie Enger Mehl dalam sidang akhbar.

    Pihak berkuasa imigresen akan mulai mengendalikan permohonan suaka secara individu untuk penduduk dari enam wilayah di barat Ukraine, yang dianggap selamat kerana jauh dari barisan hadapan perang.

    Keenam-enam wilayah tersebut adalah Lviv, Volhynia, Transcarpathia, Ivano-Frankivsk, Ternopil dan Rivne. – AFP

    Penduduk tempatan berdiri di hadapan bangunan yang rosak selepas serangan Rusia di bandar Kramatorsk, wilayah Donetsk, pada 25 September, di tengah-tengah peperangan Rusia dengan Ukraine. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda