Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nota diplomatik kepada PBB tegaskan kedaulatan Malaysia

    SEREMBAN, 7 JULAI – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan Malaysia telah menyerahkan nota diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menegaskan kedaulatan negara itu, susulan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

    Beliau berkata nota diplomatik itu juga turut menjelaskan kedaulatan negara yang merangkumi Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan.

    “Kita belum ada (terima) perkembangan sebab Filipina membuat nota, kita pun buat nota.

    Itu hubungan diplomatik. Kita buat nota juga kepada PBB kerana ada nota dari Filipina menyatakan bahawa mereka mengambil kira sempadan laut dari Sabah.

    “Bermakna mereka kata Sabah itu mereka punya jadi, kita buat nota bantahan kepada PBB kerana penubuhan Sabah, kemerdekaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia dibuat secara teratur, tersusun dan semua pemimpin bersetuju dan diperakui PBB,” katanya kepada pemberita.

    Gambar Bernama

    Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

    Beliau berkata Malaysia ialah sebuah negara merdeka terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang bergabung menjadi Malaysia yang berdaulat dan berharap pertikaian mengenai Sabah itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

    Media antarabangsa melaporkan, Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina terhadap Sabah.

    “Pekara ini biarlah diputuskan di peringkat antarabangsa, kemungkinan sampai ke Mahkamah Antarabangsa, itu terpulang. Malaysia sebuah negara berdaulat, tiada siapa sewenang-wenangnya mengatakan bahawa satu daripada wilayah Malaysia itu merupakan wilayah mereka,” kata Mohamad. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda