WELLINGTON, NEW ZEALAND, 24 MAC – New Zealand akan menghapuskan kebanyakan mandat pandemik COVID dalam masa dua minggu ini ketika penularan varian Omicron mula berkurangan.
Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata kelmarin bahawa orang ramai tidak lagi perlu divaksinasi untuk mengunjungi tempat seperti kedai runcit, restoran dan kelab-kelab bermula 4 April. Di samping itu, tidak akan ada lagi keperluan untuk mengimbas kod QR di tempat-tempat tersebut.
Mandat vaksin akan dibatalkan terhadap beberapa pekerja – termasuk guru, pegawai polis dan pelayan – walaupun ia akan diteruskan bagi penjagaan kesihatan dan pekerja rumah orang tua, pekerja sempadan dan pegawai penjara.
Had kumpulan ramai 100 orang bagi kawasan terbuka juga akan dihapuskan. Ini akan membolehkan acara konsert dan sukan seperti maraton akan disambung semula. – AP