Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ondoa benteng Cameroon

    FRANCEVILLE, Gabon, 1 Feb – Prestasi luar biasa Fabrice Ondoa dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika dianggap sebagai penyelamat buat Cameroon yang melangkah ke separuh akhir kejohanan.

    Penjaga gol berusia 21 tahun itu berada dalam senarai skuad Indomitable Lions ke Gabon dan banyak pihak menganggap mereka sebagai skuad paling lemah.

    Namun, Ondoa banyak membantu usaha pasukan melangkah ke kelompok empat terbaik di mana Cameroon dijadual bertemu Ghana, hari ini.

    “Sejak awal kejohanan lagi dia sudah menyelamatkan kami dalam banyak perlawanan,” kata rakan pasukannya, Arnaud Djoum mengenai rakannya yang diberikan tugas berkenaan oleh jurulatih, Hugo Broos.

    Reaksi pantas Ondoa berjaya menafikan percubaan Didier Ndong pada masa kecederaan yang menyaksikan Cameroon terikat 0-0 dengan Gabon dan mara ke pusingan lapan terbaik.

    Ondoa (kiri) dan rakannya Michael Ngadeu (dua kanan) cuba mengawal asakan penyerang Senegal Mame Biram Diouf (kanan) semasa aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di Franceville pada 28 Januari lalu. – AFP
    Ondoa (kiri) dan rakannya Michael Ngadeu (dua kanan) cuba mengawal asakan penyerang Senegal Mame Biram Diouf (kanan) semasa aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di Franceville pada 28 Januari lalu. – AFP

    Sebelum ini, Ondoa adalah penjaga gol simpanan pasukan dan pemain yang dipinjamkan ke pasukan B Sevilla dan situasi itu menyukarkannya untuk diturunkan.

    Dengan ketiadaan Carlos Kameni, Guy-Roland Ndy Assembe dan Andre Onana yang menolak tawaran kem kebangsaan, laluan buat Ondoa di peringkat antarabangsa terbuka luas.

    “Banyak pihak bercakap mengenai pemilihan penjaga gol. Namun, dia sudah membuktikan yang dirinya layak untuk tempat itu,” kata Djoum. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda