Monday, February 3, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    OpenAI perkenal alat penyelidikan mendalam baharu untuk ChatGPT

    TOKYO, 3 FEB – Teknologi Amerika Syarikat (AS) terbesar, OpenAI, hari ini memperkenalkan alat baharu untuk ChatGPT yang dinamakan ‘alat penyelidikan mendalam’ (deep research), membolehkan penghasilan laporan terperinci secara automatik. Langkah itu dibuat ketika persaingan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) semakin sengit dengan kehadiran chatbot DeepSeek dari China.

    Pengumuman itu dibuat di Tokyo, di mana Ketua Eksekutif OpenAI, Sam Altman, turut mengumumkan kerjasama baharu dengan pelabur teknologi SoftBank Group untuk menyediakan perkhidmatan AI canggih kepada perniagaan.

    Altman dan pengasas SoftBank, Masayoshi Son, dijangka bertemu Perdana Menteri Jepun hari ini untuk mengumumkan rancangan meningkatkan infrastruktur AI negara itu.

    Sementara itu, DeepSeek, pendatang baharu dalam bidang AI, semakin mencuri tumpuan di Silicon Valley, dengan kecekapan tinggi dan kos rendahnya dikatakan sebagai cabaran besar kepada pembangun AI di AS.

    Son (kiri) dan Sam Altman berjabat tangan selepas sesi pengumuman di Tokyo hari ini. – AFP

    OpenAI, yang mempelopori AI generatif dengan pelancaran ChatGPT pada 2022, berkata alat tersebut mampu ‘menyelesaikan dalam puluhan minit yang pada biasanya mengambil masa berjam-jam’.

    “Awda hanya perlu memberikan arahan dan ChatGPT akan mencari, menganalisis, serta mensintesis ratusan sumber dalam talian untuk menghasilkan laporan yang setanding dengan analisis penyelidik profesional,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    Dalam satu hantaran di platform X, Altman menyatakan bahawa penyelidikan mendalam yang tersedia untuk pengguna berbayar ChatGPT Pro sebanyak 100 kali sebulan, mungkin lebih perlahan dan memerlukan kuasa pemprosesan tinggi.

    Namun, di sebuah forum perniagaan di Tokyo, Altman lebih optimistik, mengatakan alat itu mampu melaksanakan sebahagian kecil tetapi signifikan daripada tugas ekonomi bernilai tinggi di seluruh dunia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda