Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Sembilan pelanggaran arahan telah dikesan dalam Operasi Peralihan yang dijalankan di seluruh negara bermula 10 malam hingga 4 pagi tadi dan para pesalah telah dikenakan denda kompaun.
“Lapan kesalahan berkenaan adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah dan satu lagi kesalahan tidak memiliki BruHealth,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Manakala itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan pula menyatakan bahawa tujuh kesalahan berkenaan didapati di Daerah Brunei dan Muara dan dua lagi kesalahan di Daerah Belait.