Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Peralihan catat 9 pelanggaran

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Sebanyak sembilan pelanggaran arahan telah dicatat di seluruh negara semasa sekatan pergerakan dijalankan semalam dari jam 10 malam hingga 4 pagi dan kesemua pesalah telah pun dikeluarkan denda kompaun.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengongsikannya semasa sidang media hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Lapan daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Menurut kenyataan terkini Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), daripada sembilan pelanggaran arahan tersebut, lima kesalahan telah didapati di Daerah Brunei Muara, dan empat lagi kesalahan didapati di Daerah Tutong.

    Kenyataan PPDB turut menjelaskan bahawa melalui Fasa Endemik, pelbagai inisiatif kerajaan telah dikemukakan dan dikemas kini yang meliputi garis-garis panduan dalam menyusuri situasi fasa awal endemik.

    Di samping itu juga, strategi tambahan yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan terhadap sekatan pergerakan orang ramai yang dilaksanakan melalui Operasi Peralihan ini turut dilanjutkan sehingga 14 Januari 2022.

    “Dalam tempoh Fasa Endemik ini, kerjasama daripada semua lapisan masyarakat hendaklah bersinergi dengan mengekalkan momentum pematuhan arahan serta mengambil peranan secara optimum dalam menjayakan perancangan pihak kerajaan mengharungi penularan dan pembendungan wabak dengan lebih berkesan dan efektif,” jelas PPDB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda