JOHOR BAHRU, 19 Jun – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berharap akan dapat bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat bagi membincangkan isu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Pulau Batu Puteh.
Menurutnya, beliau sudah mengutus surat rasmi kepada Dr Mahathir berhubung hasrat mengadakan pertemuan itu yang dijangkakan minggu depan.
“Saya akan menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung kedua-dua isu ini selepas saya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri nanti.
Kerajaan negeri juga berharap melalui pertemuan itu, kita dapat penerangan lanjut dan jelas berhubung kedua-dua isu ini daripada Perdana Menteri kerana ini adalah isu yang sangat rapat dengan kerajaan dan rakyat Johor. Setelah itu baru kita tentukan sama ada mahu diteruskan ataupun tidak,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan ke-20 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Johor, di sini hari ini.
Ketika taklimat kepada media mengenai hasil lawatan kerja ke Jepun, baru-baru ini, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak membatalkan projek HSR tetapi menangguhkannya berikutan kerajaan belum mampu melakukannya buat masa ini namun tidak menafikan terdapat keperluan untuk kereta api berkelajuan tinggi pada masa depan.
Pada 30 Mei lepas, Dr Mahathir turut menyatakan Malaysia akan menimbang semula untuk mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang kes Pulau Batu Puteh. – Bernama