Monday, December 16, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paderi ditikam: Warga S’pura diseru bertenang

    SINGAPURA, 10 NOV – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyeru orang ramai supaya kekal tenang dan bersatu padu susulan serangan pisau ke atas seorang paderi di Gereja St Joseph di Bukit Timah, kelmarin.

    Sambil menyatakan bahawa keganasan tidak mempunyai tempat di negara itu, beliau menggesa semua orang untuk menyokong satu sama lain dalam semangat keharmonian dan daya tahan.

    “Sangat terkejut dan sedih mendengar bahawa seorang paderi, Father Christopher Lee telah ditikam di Gereja St Joseph dalam satu acara. Kami mendoakan agar beliau cepat sembuh.

    “Paling penting, kita mesti menegakkan keselamatan dan kesucian rumah ibadat kita – tempat orang ramai mencari kedamaian, ketenangan dan komuniti,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

    Wong yang juga menteri kewangan berkata beruntung beberapa anggota jemaah membantu melucutkan senjata penyerang sebelum suspek dapat menyebabkan lebih banyak kecederaan.

    “Ramai jemaah terkejut dengan apa yang berlaku, dan saya berharap mereka pulih daripada peristiwa traumatik ini,” tambahnya.

    Dalam kejadian itu, Lee seorang paderi di Gereja St Joseph, diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau dalam satu acara pada jam 5:30 petang.

    Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dengan rekod jenayah lampau mencederakan orang dan kesalahan berkaitan dadah kemudiannya ditahan oleh pihak polis.

    Berdasarkan siasatan awal, polis percaya suspek bertindak bersendirian dan serangan itu bukan tindakan keganasan.

    Lee sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Nasional dan dilaporkan dalam keadaan stabil. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda