QUETTA, 19 DIS – Pihak berkuasa Pakistan kelmarin telah menangguhkan kempen vaksinasi polio di wilayah selatan Balochistan selepas petugas kesihatan memboikot program tersebut bagi membantah cadangan penswastaan hospital awam.
Pada Isnin lalu, pihak berkuasa melancarkan kempen vaksinasi polio terakhir tahun ini yang bertujuan untuk melindungi 45 juta kanak-kanak. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pakistan dan Afghanistan kekal sebagai negara yang belum berjaya membasmi virus polio yang boleh menyebabkan kematian atau lumpuh.
Pengarah Pusat Operasi Kecemasan Nasional bagi Pembasmian Polio, Anwarul Haq, menyatakan bahawa kempen di Balochistan ditunda sehingga 30 Disember untuk “persediaan lebih baik” tanpa memberikan butiran lanjut.
Namun, pegawai kesihatan dan kerajaan lain mengesahkan bahawa penangguhan itu berpunca daripada tindakan petugas kesihatan yang enggan menyertai kempen tersebut, sambil menuntut kerajaan menghentikan rancangan penswastaan hospital tempat mereka bekerja.
Wakil petugas kesihatan turut mendesak agar kerajaan tidak menggaji pekerja yang tidak berkelayakan untuk melaksanakan kempen itu.
Balochistan mencatatkan jumlah kes polio tertinggi dengan 26 kes daripada 63 kes yang disahkan di seluruh negara sejak Januari.
Kempen di kawasan lain di Pakistan diteruskan sehingga 22 Disember. – AP