Monday, January 6, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pan Gon akan terus bersama Harimau Malaya

    PETALING JAYA, 13 FEB – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon akan terus membimbing skuad itu bagi mengharungi perlawanan penting termasuk pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.

    Perkara itu disahkan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan berkata tiada permintaan rasmi dibuat Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) kepada FAM untuk membawa pulang Pan Gon, kepada pasukan negara kelahirannya itu.

    “Pan Gon akan terus mengendali skuad senior kebangsaan apatah lagi skuad negara akan berdepan perlawanan penting iaitu pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 bertemu Oman, Mac ini.

    “Korea Selatan sendiri yang mencadangkan Pan Gon bagi meningkatkan prestasi Malaysia sebelum ini. Jadi tak mungkin mereka panggil Pan Gon balik di saat kita memerlukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ke-10 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM di sini hari ini.

    Menurut beliau FAM sudah pun menandatangani kontrak dengan Pan Gon dan mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan peningkatan prestasi berterusan skuad Harimau Malaya.

    Baru-baru ini tular di media sosial nama Pan Gon disebut-sebut untuk pulang ber-khidmat ke Korea Selatan bagi memulihkan semula maruah bola sepak skuad Taeguk Warriors itu selepas gagal menjulang trofi Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun. – Bernama

    Pan Gon (dua dari kiri) pada perlawanan di antara Malaysia menentang Jordan bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub pada 16 Januari lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda