Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pandangan Nora Danish mengenai nafkah tak ditujukan kepada sesiapa

    Pelakon, Nora Danish, 42, menjelaskan perkongsiannya mengenai nafkah rumah tangga dalam podcast bersama Neelofa dan Natasha Ozeir baru-baru ini sudah dirakamkan pada Julai lalu dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

    Nora berkata, perkongsian itu adalah berdasarkan pandangan peribadi mengenai isu nafkah dan dia memberikan pendapat secara umum.

    Podcast itu kami dah rakamkan pada Julai, dah lama. Cuma baru dikeluarkan (ditayangkan). Waktu itu saya baru bercerai. Bagi saya, mungkin ada sebab kenapa pihak produksi baru tayangkan podcast itu contohnya kesibukan dan sebagainya.

    “Sebenarnya, semasa nak keluarkan podcast itu pun, saya pun ada bercakap dengan pasukan kami juga, sebab isu yang dibicarakan terlalu ada kena-mengena sangat dengan apa yang berlaku dalam industri hiburan baru-baru ini.

    “Jadi, saya takut menyinggung perasaan orang. Tapi, ada pihak yang memaklumkan tak ada masalah kalau kita keluarkan sebab kita tak memihak mana-mana. Selain itu, topik yang dibincangkan juga adalah secara umum yang mungkin ramai terlepas pandang,” katanya kepada Harian Metro.

    Menurut Nora, ketiga-tiga mereka memberikan pandangan berdasarkan pengalaman dan sudut pandang berbeza.

    “Ketiga-tiga kami membawa pandangan dari sudut berbeza. Neelofa sendiri bercakap dari sudut pandang orang yang masih berkahwin, Natasha pula orang yang masih bujang manakala saya pula dari sudut pandang orang yang sudah bercerai.

    “Jadi, ada tiga pandangan berbeza yang bercakap mengenai pengalaman hidup masing-masing. Itu sahaja dan tak ada kena mengena dengan sesiapa,” katanya.

    Nora juga menafikan bahawa isu nafkah itu ada kena mengena dengan kehidupannya dan turut menafikan pandangan beberapa pengguna media sosial yang mengatakan bahawa itu menjadi punca perceraiannya dengan bekas suami, Nedim Nazri Aziz. – Agensi

    Nora dan Nedim sah bercerai pada 19 Jun lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017. – Harian Metro
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda