KUCHING, 27 SEPT – Pemain Pulau Pinang, Muhammad Amin Azmi tidak berdepan masalah mempertahankan emas perseorangan lelaki SH6 (kecacatan fizikal) buat kali kedua berturut-turut pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, hari ini.
Pemenang gangsa di Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja itu ternyata bukan tandingan Cheah You Zhou apabila tampil bersahaja dan tenang membenam cabaran rakan senegerinya, 21-7, 21-8, di Dewan Persatuan Badminton Sarawak.
“Alhamdulillah saya dapat kekalkan konsistensi saya ditambah pula permainan saya yang menjadi sejak hari pertama pertandingan sehinggalah hari ini,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Amin yang juga pemenang perak Sukan Remaja Para Asia 2021 di Bahrain, berharap dapat meningkatkan tahap permainannya dan mengekalkan prestasi pada sesi latihan bagi mengikut jejak langkah jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou pada masa depan.
Pemain dari Bukit Mertajam itu berkata beliau amat tertarik dengan komitmen tinggi dipamerkan pemenang emas Paralimpik itu yang sentiasa rajin dan tidak pernah culas menjalani latihan setiap hari.
Justeru, pemain kerdil berketinggian 125 sentimeter berkenaan tekad beraksi lebih garang dan cuba menggapai impian merangkul emas pada APG 2025 di Thailand. – Bernama