DHAKA, 11 FEB – Parti politik BNP Bangladesh yang berkuasa telah bersuara secara terbuka buat pertama kali terhadap kerajaan sementara selepas pergolakan yang meningkat dan tindakan keras keselamatan besar-besaran di negara itu.
Polis telah menahan lebih 1,500 orang di seluruh negara sejak Sabtu lalu sebagai sebahagian daripada Operasi Devil Hunt, menyasarkan kumpulan yang dituduh mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina.
Setiausaha Agung Parti Kebangsaan Bangladesh, Mirza Fakhrul Islam Alamgir, bertemu pemimpin sementara Mohammed Yunus hari ini untuk membincangkan kebimbangan mengenai insiden yang telah melanda seluruh negara itu.
Penunjuk perasaan merobohkan bangunan yang berkaitan dengan keluarga Hasina menggunakan jentolak – termasuk muzium kepada mendiang bapanya, presiden pertama Bangladesh – 5 Februari lalu, enam bulan selepas dia melarikan diri ketika orang ramai menyerbu istananya di Dhaka.
Polis turut berada di tempat itu ketika penunjuk perasaan membakar bangunan.
“Semuanya berlaku di hadapan agensi penguatkuasaan undang-undang, jadi kerajaan tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab,” kata Alamgir.
Bantahan itu menyusuli laporan mengatakan Hasina yang berusia 77 tahun, yang telah mengingkari waran tangkap untuk menghadapi perbicaraan kerana jenayah terhadap kemanusiaan, akan muncul dalam siaran langsung daripada buangan di negara jiran India. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P19-3C_12022025.jpg)