Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parti Kongres India terkejut dengan kekalahan teruk di negeri Maharashtra

    NEW DELHI, 24 NOV – Parti Kongres yang menjadi pembangkang di India, terkejut selepas mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya dewan undangan di Maharashtra manakala Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah sedang meraikan kemenangan besarnya.

    Maharashtra ialah negeri yang penting dari segi politik dan merupakan pusat kepada ibu kota kewangan Mumbai serta industri perfileman Hindi, Bollywood.

    Kongres bertanding dalam pilihan raya itu sebagai sebahagian daripada pakatan yang turut disertai oleh serpihan Shiv Sena pimpinan Uddhav Thackeray serta Parti Kongres Nasionalis (NCP) yang diketuai veteran politik, Sharad Pawar.

    Blok itu dilihat berpotensi mencabar gabungan BJP, yang turut melibatkan serpihan Shiv Sena diketuai oleh Ketua Menteri Eknath Shinde, serta kumpulan serpihan NCP yang diketuai oleh anak saudara Sharad, Ajit Pawar.

    Politik di Maharashtra kelihatan seperti plot filem Bollywood lama yang penuh dengan sentuhan dramatik, watak penjahat, wira, konspirasi dan helah.

    Gambar AFP

    Ajit dan Shinde sebelum ini bertindak meninggalkan parti masing-masing, namun Suruhanjaya Pilihan Raya membenarkan mereka menggunakan nama parti asal.

    Shinde memecah-belahkan Shiv Sena pada Jun 2022, sekali gus menjatuhkan kerajaan gabungan “Maha Vikas Aghadi” yang diketuai oleh ketua menteri ketika itu Uddhav, anak kepada pengasas Shiv Sena, Bal Thackeray.

    Shinde kemudiannya berganding bahu dengan BJP dan dilantik sebagai Ketua Menteri Maharashtra.

    Pada 2023, Ajit memecah-belahkan NCP yang diasaskan oleh Sharad dan menjadi sekutu BJP.

    Pengundi Maharashtra mempunyai pilihan yang jelas antara kedua-dua gabungan itu semasa pilihan raya negeri itu pada 20 November.

    Namun, apabila keputusan diumumkan, Kongres dan sekutunya bergelut untuk menjelaskan kekalahan mereka.

    Jurucakap Kongres Jairam Ramesh menyalahkan “manipulasi di peringkat akar umbi” oleh BJP, dengan mendakwa pemimpin-pemimpin partinya menjadi sasaran untuk memastikan kekalahan mereka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda