Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan adik-beradik juara musabaqah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Dua beradik iaitu Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid dan Dayang Najla’Sabreena binti Haji Abdul Rajid, muncul juara bagi kategori masing-masing dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1445H/2024M Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Sebagai juara, masing-masing membawa pulang piala pusingan, hadiah iringan, sijil penyertaan, wang tunai $3,000, Akaun Al-Wadiah bernilai $500 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), pakej ziarah Istanbul musim sejuk (lima hari empat malam) termasuk sumbangan Balurih Travel Sdn Bhd.

    Sementara naib johan qari dan qariah disandang oleh Awang Abdull Muin bin Haji Abdul Hamid dan Dayangku Alya Syahirah binti Pengiran Haji Jafri yang masing-masing menerima hadiah iringan, sijil penyertaan, wang tunai $2,000, Akaun Al-Wadiah bernilai $300 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.

    Manakala itu, Awang Muhammad Nur Asymawi bin Awang Asli dan Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah binti Pengiran Ainolazahar memenangi tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah iringan, sijil penyertaan, wang tunai $1,000, Akaun Al-Wadiah bernilai $200 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.

    Hadir selaku tetamu kehormat serta menyampaikan hadiah kepada para peserta ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menyampaikan hadiah kepada Awang Abdul Qawiyyel Azeez (atas) dan Dayang Najla’Sabreena yang telah menjuarai kategori masing-masing. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Para pemenang sagu hati pula menerima hadiah iringan, sijil penyertaan, wang tunai $500 dan Akaun Al-Wadiah bernilai $100 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dalam ucapannya berkata, musabaqah berkenaan bukan sekadar pertandingan, tetapi ia merupakan satu bentuk penghormatan kepada kitab suci umat Islam iaitu Al-Quran.

    Dalam konteks yang lebih luas, musabaqah seumpama ini mempunyai kepentingan yang besar dalam membentuk dan memperkasa ummah yang cinta kepada ilmu.

    “Al-Quran merupakan kitab petunjuk Allah Yang Maha Suci yang dapat digunakan sebagai pedoman hidup di sepanjang zaman. Singkatnya, Al-Quran mengandungi nilai-nilai yang lengkap dan lestari. Hal ini juga dilihat amat relevan dengan konsep hubungan antarabangsa pada masa kini, iaitu dari perspektif globalisasi yang kian diwarnai oleh krisis moral dan sosial, yang sangat memerlukan penyelesaian untuk mengatasinya.

    “Oleh yang demikian, para belia yang menjadikan Al-Quran sebagai sumber ilmu dalam kehidupan seharian sudah pasti akan mengecap rasa jiwa yang tenang dan damai, iman yang teguh dan lebih sempurna, cemerlang serta dijamin berjaya dunia dan akhirat,” ujarnya.

    Beliau juga berharap agar musabaqah itu akan terus menjadi wadah bagi membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, usaha menganjurkan pelbagai inisiatif bagi memupuk budaya mencintai dan mendekati Al-Quran, perlu diteruskan dan dipergiat lagi dalam kalangan masyarakat Islam khususnya belia bermula daripada institusi keluarga kita sendiri.

    Sokongan dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa adalah amat penting dalam memastikan generasi belia terbiasa membaca dan memahami Al-Quran sejak kecil lagi, tambah Yang Berhormat Dato.

    Majlis turut menyaksikan persembahan tausyeh belia daripada Kumpulan Tausyeh Harakatul Adzkia, Belia Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, dan diteruskan dengan pengumuman keputusan musabaqah yang disampaikan oleh Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit selaku pengerusi jemaah hakim.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; ahli Majlis Mesyuarat Negara, dan Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan KKBS, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan TAIB, Awang Mohammad Irfan bin Tajuddin selaku wakil Pengarah Urusan Perbadanan TAIB; Ketua Pegawai Eksekutif Balurih Travel Sdn Bhd, Haji Syed Muhammad Yassin bin Haji Syed Innayatullah; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

    Pada tahun ini, seramai 121 orang telah mendaftar bagi mengikuti musabaqah berkenaan dengan 10 orang iaitu lima qari dan lima qariah bertanding di peringkat akhir termasuk dua orang johan menunggu qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2023.

    Musabaqah anjuran KKBS kelolaan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) yang dilaksanakan sejak tahun 1980-an telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

    Di samping itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda