Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan suami isteri lafaz Dua Kalimah Syahadah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Pasangan suami isteri berbangsa Iban, Wilson @ Jerudong anak Ampaling, 63 tahun dan Letipah anak Dingai, 59 tahun, telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah petang tadi di hadapan pegawai-pegawai pengislaman daripada Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong, Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

    Majlis tersebut diadakan di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, Daerah Temburong.

    Hadir bagi menyaksikan majlis pengislaman berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri.

    Wilson kini memilih nama Islamnya sebagai Syahrullah bin Abdullah Ampaling, diikuti isteri beliau kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Latifah binti Abdullah Dingai.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah diikuti dengan majlis pengislaman pasangan suami isteri berkenaan.

    Majlis juga diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada dua saudara baharu berkenaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis dan diserikan dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai serta penyampaian replika penanda arah kiblat daripada Jabatan Ukur.

    Menurut kenyataan, sejak awal Januari hingga 30 Jun, seramai 171 orang yang telah memeluk agama Islam di seluruh Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bergambar ramai dengan Syahrullah dan Latifah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan cenderahati kepada dua saudara baharu berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Awang Syahrullah dan Dayang Latifah semasa melafazkan Dua Kalimah Syahadah. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda