BANDARAYA GAZA, 16 MAC – Pasukan Pertahanan Awam Palestin kelmarin meneruskan usaha untuk mengeluarkan 61 mayat rakyat Palestin yang dikebumikan di pekarangan Hospital Shifa di Gaza semasa konflik berbulan-bulan dengan Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata proses penggalian bermula pada 13 Mac dengan pasukan berusaha mengeluarkan mayat untuk dikebumikan dengan sewajarnya.
Pada hari pertama, anggota Pertahanan Awam mengeluarkan 48 mayat, termasuk 10 yang tidak dapat dikenal pasti. Pada hari kedua, mereka menemukan 13 lagi mayat, dengan tiga daripadanya masih belum dikenal pasti. Mayat yang telah dikenal pasti diserahkan kepada keluarga masing-masing, manakala yang lain dihantar ke pihak forensik.
Pihak berkuasa menganggarkan sekitar 160 mayat dikebumikan di pekarangan hospital itu sepanjang konflik, dengan beberapa hari lagi diperlukan bagi menyelesaikan proses pengeluaran mayat.
Hospital Shifa, yang sebelum ini merupakan kemudahan perubatan terbesar di Gaza, memberikan perkhidmatan kepada 460,000 orang setiap tahun, termasuk rawatan kecemasan, pembedahan, rawatan dialisis dan penjagaan kesihatan ibu.
Sepanjang konflik, tentera Israel berulang kali menyerbu dan memusnahkan Hospital Shifa.
Serangan besar pertama berlaku pada 16 November 2023 dan berlanjutan selama 10 hari.
Serangan kedua pada 18 Mac 2024 berterusan sehingga 1 April, di mana tentera Israel memusnahkan sebahagian hospital, membakar bangunan serta melakukan pembunuhan di dalam dan sekitar kemudahan itu, menjadikannya tidak lagi berfungsi sepenuhnya. – Bernama
