Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Patuhi arahan kerajaan semasa Fasa Endemik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Orang ramai disarankan untuk terus mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing, mematuhi segala ara-han dan nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan serta untuk tidak leka dengan keadaan semasa.

    Saranan itu ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika menjawab persoalan mengenai saranannya kepada orang ramai dengan negara bakal memasuki Fasa Endemik semasa Sidang Media mengenai Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin berkata bahawa peralihan kepada Fasa Endemik adalah berasaskan penilaian epidemologi dan analisis-analisis keadaan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang nampaknya stabil.

    Semua itu adalah berkat kerjasama semua pihak yang berkenaan termasuklah orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) masing-masing.

    “Ia membuktikan akan tanggungjawab sosial dan inilah yang perlu untuk kita teruskan bila kita melangkah ke Fasa Endemik, bahawa ia bukannya suatu fasa di mana kita akan bersuka-ria, merasa leka dengan keadaan itu tetapi haruslah mempertahankan dan terus mengamalkan apa jua nasihat-nasihat dan SOP yang telah berjalan, kerananya kita dapat berada atau berpindah atau beralih ke Fasa Endemik.”

    Yang Berhormat Pehin menambah, “Sebagai mana juga titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam malam tadi, bagi umat Islam, mereka mestilah meneruskan secara konsisten akan amalan-amalan, sembahyang hajat, membaca Quran, membaca Yasin dan berdoa, semoga COVID-19 ini akan diangkat oleh Allah SWT dari negara kita dan dari dunia.”

    Beliau berkata bahawa kita harus bersyukur kerana dapat memasuki ke Fasa Endemik di mana di dalamnya terdapat kelonggaran-kelonggaran tertentu dan apa jua pencapaian kita serta yang kita lakukan akan menentukan hala tuju kita dalam langkah seterusnya iaitu ke fasa hadapan.

    “Jadi bersama-sama kita memelihara, mempertahankan, keadaan ini supaya kita akan dapat terus melangkah ke fasa yang lebih baik lagi,” ulas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh James Kon.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda