Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai keselamatan terima sumbangan makanan

    SURFSIDE, FLORIDA – Nicolette Daniel menyorong troli yang diisi dengan dada ayam disimpan dalam kotak, ubi kentang dan Oreo yang digoreng ke persimpangan jalan di mana pegawai polis berdiri berhampiran kereta mereka, mengawal lalu lintas tidak jauh dari menara kondominium yang runtuh di Surfside, Florida.

    “Mereka tidak boleh meninggalkan kedudukan mereka,” kata Daniel, yang bersungguh-sungguh memberikan pegawai keselamatan makanan, di mana dia dan suaminya telah menyewa sebuah trak untuk memasak kira-kira 350 pek makanan yang kemudian diagihkan di kawasan letak kereta berhampiran dengan sebuah gereja.

    Salah seorang daripada pegawai yang ditemui Daniel, Sarjan Patricia Vasquez, berterima kasih atas makanan yang diberikan, tetapi menolak pemberian dengan baik.

    “Ramai yang datang singgah dengan membawa makanan,” kata Vasquez, sambil mengusap perutnya. “Seseorang baru sahaja datang ke mari dengan membawa 50 biji burger.”

    Sejak sebahagian besar bangunan Champlain Towers South runtuh pada awal Khamis lalu, sekumpulan sukarelawan yang semakin bertambah jumlahnya telah menawarkan segala-galanya dari air minuman dan minuman tenaga hingga ke piza dan Oreo goreng kepada pegawai bomba, pegawai polis dan kakitangan penyelamat yang bekerja bergilir-gilir selama 12 jam di kawasan runtuhan. Di Gereja Casa yang terletak berhampiran kawasan bencana, Ezequiel Fattore turut ikut serta mengagihkan makanan kepada kakitangan keselamatan beberapa jam selepas bangunan tersebut runtuh, dengan membawa beberapa botol air dan minuman tenaga.

    Robert Martinez mengagihkan makanan kepada pegawai polis yang mengawal lalu lintas yang sesak berhampiran dengan runtuhan bangunan Champlain Towers South. – AP

    “Kami mengambil segala bekalan minuman dari dalam peti sejuk dan mula mengagihkan kepada mereka,” kata Fattore. “Beberapa jam kemudian, saya berada di Costco dan membelanjakan kira-kira AS$600. Itulah sumbangan pertama saya.”

    Di dalam bilik Fattore, berpeti-peti air minuman disusun sehingga empat tingkat, bersama-sama pelbagai minuman tenaga, minuman ais kopi botol dan beberapa beg keropok kentang dan hidangan snek yang lain. Ketika para sukarelawan mengisi peti simpanan untuk diagihkan kepada anggota polis dan kakitangan kecemasan di kawasan berkenaan, sebuah van singgah untuk memunggah lebih banyak makanan.

    “Ia datang dari kawasan lain,” kata Fattore. “Saya tidak tahu apa yang dibawa oleh mereka.”

    Di kawasan tempat letak kereta, Robert Martinez dan tiga orang rakannya bertungkus-lumus menggoreng dada ayam dan Oreo di dalam trak makanan yang disewa Martinez.

    Martinez berkata mereka membawa bekalan yang mencukupi untuk 50 orang.

    “Sebaik sahaja kami menerima panggilan supaya datang memberikan pertolongan atau apa sahaja yang kami mampu lakukan, kami tidak perlu membuat keputusan,” kata Martinez. “Ia seperti berkata, ‘Jom kita lakukan!’”.

    Panggilan datang dari Daniel dan suaminya, Patrick Daniel, seorang peguam undang-undang di Houston. Nicolette Daniel berkata mereka membuat perjalanan dari Texas ke Florida untuk menghulurkan apa sahaja jenis bantuan yang mereka mampu kepada ahli keluarga mangsa dan kakitangan kecemasan.

    Daniel berkata dia merasa terpanggil untuk memberikan sumbangan selepas sokongan yang tidak putus-putus yang diterimanya apabila ibunya meninggal dunia secara tiba-tiba setahun yang lalu.

    “Loceng pintu sentiasa berbunyi dan orang ramai sentiasa membuat panggilan dan sentiasa datang ke mari,” katanya.

    Fattore berkata dia berbual dengan perasaan menyayat hati bersama ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan mangsa. Beberapa orang rakannya masih belum ditemui.

    Tetapi dia berkata sokongan tidak putus-putus daripada sukarelawan menguatkan kembali keyakinannya.

    “Ia memberi sedikit harapan,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda