SAN FRANCISCO, 29 JULAI – Google dan Facebook berkata semalam pekerja yang kembali ke pejabat masih perlu menerima suntikan vaksin COVID-19, dalam tindakan terbaharu firma dan agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Peningkatan dalam jangkitan disebabkan varian virus Delta telah menambah kebimbangan di AS, di mana 611,000 orang telah maut akibat pandemik itu.
Google akan melarang pekerja tanpa vaksinasi memasuki kampus dan melanjutkan opsyen kerja dari rumah di seluruh dunia sehingga 18 Oktober, menurut ketua eksekutif Sundar Pichai. “Sesiapa yang datang bekerja di kampus kami perlu disuntik vaksin,” kata Pichai.
“Kami mengeluarkan dasar ini di AS pada minggu-minggu akan datang dan akan melanjutkannya ke rantau lain pada bulan-bulan mendatang.”
Pelaksanaan akan disesuaikan dengan keadaan tempatan, termasuk sama ada terdapatnya vaksin, menurut syarikat teknologi berpangkalan di Silicon Valley itu.
“Saya berharap langkah berkenaan akan memberikan semua orang ketenangan fikiran apabila pejabat dibuka semula,” tambah Pichai. – AFP
