BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) memaklumkan bahawa seorang pelajarnya telah berjaya mara ke peringkat akhir Cabaran Pengkomputeran Universiti Oxford (OUCC) buat tahun kedua berturut-turut.
JIS dalam kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini, menyatakan bahawa pelajar Tahun 11 itu, Awang Ahmad Jamsari telah berjaya mendapat tempat ke-13 daripada ribuan pesaing di seluruh dunia.
Menurut kenyataan itu, pengkomputeran adalah subjek teras di JIS bagi 240 orang pelajar Tahun 7 dan 8, manakala itu, bagi Tahun 9 dan seterusnya, mereka boleh memilih untuk melanjutkannya berkenaan sebagai subjek pilihan.
Untuk bersaing dalam OUCC, semua pelajar Tahun 7 dan 8 bersama pelajar Tahun 9 hingga 13 yang memilih Pengkomputeran sebagai sebahagian daripada kurikulum IGCSE, A Level atau IB menjalani ujian dalam talian selama sejam iaitu UK Bebras Computational Thinking Challenge dalam pembelajaran mereka.
Pada tahap ini, ia tidak melibatkan sebarang kemahiran pemprograman dan disertai oleh lebih 50 buah negara.
Kenyataan menambah, 10 peratus pelajar teratas dalam setiap kumpulan umur daripada Cabaran BEBRAS berkenaan kemudian dijemput bagi mengikuti pusingan pertama Cabaran Pengkomputeran Universiti Oxford di mana tujuh pelajar dari JIS telah dijemput.
Pusingan berkenaan memerlukan pelajar menyelesaikan masalah menggunakan kemahiran pemprograman komputer mereka.
Seramai 20 pelajar teratas dalam setiap kumpulan usia di seluruh dunia seterusnya dijemput untuk bersaing dalam pusingan kedua dan terakhir.
Awang Ahmad Jamsari perlu menjalani ujian dalam talian dalam masa sejam menggunakan kemahiran pemprograman untuk menyelesaikan sat set cabaran yang semakin rumit.
Pengetua JIS, Nicholas Sheehan dipetik menyatakan, “Untuk mencapai tempat ke-13 daripada lebih 250,000 pelajar di seluruh dunia membuktikan kualiti Awang Ahmad sebagai pelajar dan kualiti pengajaran di Fakulti Matematik dan Sains Komputer di JIS.”